Persatuan Muaythai sasar pingat emas di Sukan SEA

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Pembukaan sempadan negara 1 April ini memberi nafas baharu kepada atlet Muaythai Kebangsaan yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei hadapan.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) Dato’ Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata, seramai 16 atlet kebangsaan akan dihantar ke Bangkok, Thailand untuk menjalani latihan pada 2 April ini.

- Advertisement -

“Kita dapat lihat prestasi atlet sedikit menurun berbanding sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

“Atlet kita kemudian akan terus bertolak ke Hanoi dari Bangkok untuk menyertai Sukan SEA,” katanya selepas majlis penutup Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Kebangsaan 2022 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), semalam.

Muhammad Shahnaz berkata selain sesi latihan di Bangkok, atlet kebangsaan juga akan menyertai Kejohanan Muaythai Dunia di Abu Dhabi pada 25 April depan, sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA.

Menurutnya PMM menyasarkan satu pingat emas pada Sukan SEA tahun ini.

Sementara itu katanya seramai 400 atlet menyertai Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Kebangsaan 2022 yang dianjur kerajaan Kelantan.

“Ketiadaan kejohanan sebelum ini memberi kesan kepada prestasi atlet, namun dengan usaha Kelantan menjadi tuan rumah kejohanan tahun ini, ia amat melegakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -