Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal menikmati limpahan ekonomi yang baik setelah pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya.
Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin memaklumkan, status kemajuan dan pelaksanaan terkini bagi projek ECRL di negeri ini telah mencapai lebih 25.76 peratus.
“Beta turut dimaklumkan tentang status pelaksanaan terkini projek ECRL bagi Negeri Terengganu iaitu pada tahap 25.76 peratus.
“Negeri Terengganu juga bakal menerima limpahan ekonomi hasil daripada cadangan pembangunan Transit Oriented Development (TOD) di enam stesen yang bakal dibangunkan kelak,” titah baginda.
Teks titah ucapan Tuanku Sultan Mizan itu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini dibacakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini, pada 13 Februari lalu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak optimis, projek ECRL mampu disiapkan mengikut jadualnya.
Harakah difahamkan, jajaran ECRL itu dijangka akan siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan dimulakan operasi pada Januari 2027 dengan kos RM50.27 bilion.
Kontraktor utama projek itu, ECRL China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan kerajaan negeri Terengganu memberi sokongan dan komitmen penuh terhadap ECRL dan CCC-ECRL dalam penyiapan projek tersebut. – HARAKAHDAILY 21/3/2022