2 lelaki ditahan ambil upah seludup daun ketum

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

JELI:
Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dipenuhi muatan 59 bungkusan hitam yang dipercayai mengandungi 590 kilogram (kg) daun ketum.

Kereta terbabit dinaiki dua lelaki tempatan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Batu Melintang dekat sini semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, pada jam 7.30 pagi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menahan kenderaan itu yang dalam perjalanan dari Gerik, Perak.

Katanya, hasil pemeriksaan kenderaan tersebut menemui 59 bungkusan beg plastik hitam yang mengandungi gulungan berikat getah dengan setiap satunya seberat 10 kilogram.

“Kesemua daun ketum itu dianggar bernilai RM5,900 dan ia dipercayai dibawa dari Kedah untuk pasaran di Kota Bharu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu dipercayai mengambil upah membawa daun ketum terbabit dengan bayaran sebanyak RM800.

Menurutnya juga ujian saringan yang dibuat mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methampethamine.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -