Kompleks PAS Kedah tersergam seolah sudah jadi Kerajaan Pusat

Presiden sifatkan ia percikan cahaya Islam yang tidak akan padam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pembinaan Kompleks Pentadbiran PAS Negeri Kedah menjadi antara percikan cahaya perjuangan Islam yang menandakan bahawa Islam tidak mati dengan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun Nabi akhir zaman ditamatkan hayatnya, tetapi hayat Islam tidak ditamatkan sebagaimana janji Allah S.W.T.

“Cahaya Islam adalah cahaya Allah S.W.T sebagaimana seluruh kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu hingga sekarang, tidak mampu menghapuskan cahaya matahari dan bulan, bintang cakerawala, musim-musim dalam alam dunia ini.

“Maka Islam lebih kuat daripada itu lagi. Sejarah menyaksikan Islam dikepung lebih dahsyat daripada apa yang berlaku pada hari ini,” ujarnya berucap Merasmikan Bangunan Pentadbiran PAS Kedah, di sini sebentar tadi.

Tuan Guru mengimbas selepas kewafatan Rasulullah berlaku peristiwa riddah di mana kabilah-kabilah Arab yang sudah masuk Islam murtad keluar daripada Islam mengangkat senjata menentang Islam. 

Namun katanya, Islam yang bermula di Makkah dan Madinah iaitu bumi kering kontang tanpa hasil, sangat miskin dan terlalu sukar membuat pembangunan akhirnya kuat mengikuti sejarah Nabi-nabi sebelumnya.

Kupas beliau, generasi lalu telah melengkapkan dua syarat hingga dikurniakan kemenangan iaitulah istiqamah dengan berada di jalan betul tanpa berganjak prinsip dan dasar, serta tidak berputus asa mengharapkan kemenangan Islam.

Turut dipetiknya pengajaran dari doa Nabi Musa di mana termakbul selepas 40 tahun sebagai peringatan kepada mereka yang mahukan kemenangan segera sedangkan Allah menapis kalangan pendukung perjuangan Islam ini.

Beliau memuji sikap ahli perjuangan ini yang menyaksikan kompleks pentadbiran berjaya didirikan itu adalah hasil daripada kalangan mereka golongan bertani padi dan lain-lain di mana telah memberi derma sedikit dan banyak.

Katanya, perjuangan PAS kini yang memerintah tiga negeri dan bersama Kerajaan Pusat hanyalah satu mukaddimah seperti berada dalam gear satu bagi sebuah kenderaan.

Pun begitu kagum beliau, ahli-ahli PAS menunjukkan semangat dan kerja kuat termasuk di kawasan-kawasan yang PAS tewas dan hilang deposit dalam pilihan raya.

“Malam ini kita saksikan satu hasil yang terserlah di Kedah, bangunan Kompleks Pentadbiran PAS Negeri Kedah yang tersergam ini, macam dah jadi Kerajaan Pusat. Ini hebat. Menandakan kita tidak lemah, kita ada kekuatan. 

“Oleh kerana itulah musuh-musuh parti kita paling ramai daripada parti lain. Kita paling mencabar daripada parti lain. Dan kita parti yang paling lama boleh melangsungkan perjuangan sehingga hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2022

- Advertisement -