Maritim Perlis rampas set bubu naga

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Sebanyak 10 set bubu naga (bubu kambang) dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis di kedudukan 0.4 batu nautika barat Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu tersebut dikesan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman di perairan Perlis.

- Advertisement -

“Kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu memasang pelampung berwarna kuning yang diikat pada pancang kayu tersebut sebagai penanda lokasi bubu naga.

“Rampasan bernilai hampir RM800 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Minggu lepas Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan asing yang dikesan menjalankan aktiviti perikanan menggunakan sembilan set bubu naga pada kedudukan 1.2 batu nautika barat Pulau Ketam, Kuala Perlis.

Ia melibatkan seorang tekong dan seorang kru warga Thailand, berusia 25 dan 38 tahun.

Hasil pemeriksaan Maritm mendapati bot tersebut berasal dari Thailand dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -