CSR salah satu dakwah bil hal

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

PUTRAJAYA:
Seramai 1,000 pelajar asnaf telah menerima sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hari ini, dengan jumlah sebanyak RM160,000 sempena Projek Infak Back To School.

Projek itu merupakan inisiatif Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK JAKIM) diselaraskan Sinergi Ilmu bagi membantu masyarakat miskin tegar atau B40 di daerah Hulu Langat dan Gombak yang terjejas teruk akibat banjir serta pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Antara syarikat korporat terlibat adalah Lembaga Tabung Haji, Yayasan Taqwa MAIWP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Petronas, Celcom dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata projek itu merupakan sumbangan ikhlas diberikan syarikat korporat untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Katanya, pelaksanaan projek itu bagi menggambarkan dakwah itu juga boleh dilakukan dengan memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan (dakwah bil hal).

“Memang banyak perkara-perkara yang JAKIM lakukan, kita nak menunjukkan ini sebagai suatu dakwah bil hal, dakwah yang bukannya saja dalam bentuk kata-kata.

“Dakwah kita juga adalah dalam bentuk praktikal antaranya ialah kita menyumbangkan dan memberikan bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Simbolik Penyerahan Sumbangan Infak Back To School untuk Para Pelajar Asnaf B40 Daerah Hulu Langat dan Gombak Sempena Sesi Baharu Persekolahan 2022/2023.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat yang telah memberikan sumbangan dalam usaha untuk membantu keluarga kurang berkemampuan di daerah terbabit.

“Saya ucap terima kasih kepada pihak korporat yang bermurah hati memberikan sumbangan CSR mereka, ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat mereka kepada orang yang kurang mampu untuk menerima bantuan daripada pihak mereka.

“Harapan kita supaya korporat yang menyumbang ini dimurahkan lagi rezeki mereka, semoga Allah Taala memberikan kesihatan yang baik kepada mereka yang pemurah, dan memberikan kekayaan dan keuntungan lagi dalam perniagaan mereka dalam tahun-tahun yang akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu, Ustaz Idris memaklumkan pihaknya akan melancarkan sumbangan berjumlah RM20 juta kepada golongan terjejas banjir.

Ia membabitkan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Sumbangan itu melibatkan membaik pulih rumah serta mendirikan semula rumah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Melalui Projek Infak Back To School itu, seramai 1,000 pelajar asnaf B40 menerima sumbangan berupa pakaian lengkap dan beg sekolah.

Lembaga Tabung Haji dan Yayasan Taqwa MAIWP masing-masing menyumbang sebanyak RM50,000, manakala LHDN dan Petronas masing-masing menyumbang RM20,000.

Syarikat Telco Celcom menyumbang telefon pintar terpakai berjumlah RM15,000 dan BSN turut menyumbang sebanyak RM5,000. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -