Malaysia rugi RM6.1 bilion akibat banjir besar

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Negara mencatat kerugian bernilai RM6.1 bilion akibat banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri pada akhir tahun 2021 dan awal tahun ini.

Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, kerugian itu membabitkan tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Dr Mansor Othman, berkata bencana alam itu juga merosakkan infrastruktur awam dan infrastruktur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk hakisan tebing sungai, kerosakan struktur hidrologi dan kolam takungan banjir yang dianggarkan sebanyak RM640 juta.

Demi memastikan kerja-kerja pasca banjir dapat segera dilaksanakan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi kerja pembaikan demi mengurangkan impak banjir di seluruh negara.

“Bagi kawasan yang terjejas akibat banjir yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh, KASA akan memohon peruntukan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia 5 Tahun di bawah KASA,” katanya menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mansor berkata, langkah berkenaan diambil supaya setiap pendekatan struktur dan bukan struktur bagi menangani masalah banjir dapat dilaksanakan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim, reka bentuk dan pelaksanaan projek-projek melibatkan sektor air dan infrastruktur.

Katanya, perincian bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang telah diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Mesyuarat Khas Parlimen Berkaitan Banjir Dan Pasca Banjir, Penyelarasan Bantuan Dan Perancangan Jangka Panjang Pengurusan Bencana Banjir pada 20 Januari lalu.

“Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut tahun lalu dan tahun ini yang serius sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030,” katanya.

Bagi pelan induk jadual masa dengan tujuan mengurangkan risiko bencana banjir akibat perubahan iklim, katanya KASA akan memasukkan faktor perubahan iklim dalam meningkatkan tahap perlindungan bagi reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai dari 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI.

Katanya, KASA juga membangunkan satu kerangka pelan mitigasi jangka panjang 50 tahun secara berfasa yang akan bermula pada tahun 2023 bagi mengurangkan impak banjir dan peningkatan aras laut sehingga tahun 2100.

“Pelan mitigasi ini melibatkan projek tebatan banjir, saliran bandar, pembinaan sabo works, empangan, pengambilan tanah, struktur pelindung pantai yang berupaya melindungi daripada kenaikan air laut, banjir pantai, dan luruan ribut,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -