Umar beri pampasan 200 dinar betulkan kesilapan pegawai

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 33)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK


IBN Saad mengeluarkan dari Ata’, katanya: Umar al-Khattab ra memerintahkan pegawainya membahagikan hasil-mahsul kepada rakyat.

Apabila mereka berkumpul, Umar berkata: Wahai manusia! Aku tidak hantar pegawai aku kepada kamu untuk mereka ambil hasil kamu, harta kamu atau melibatkan maruah kamu. Aku hantar pegawai aku untuk membahagikan hasil pendapatan antara kamu. Sesiapa yang diperlakukan kepadanya selain dari itu, maka bangunlah.

- Advertisement -

Tidak ada yang berdiri melainkan seorang lelaki. Katanya: Wahai Amir al-Mukminin! Pegawai kamu itu pukul aku 100 rotan.

Umar bertanya: Kenapa dia pukul kamu? Bangun, balas dia.

Amru bin al-As berdiri, lalu berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Kalau engkau buat begini, nanti banyak yang kena balas lagi. Ia akan jadi ikutan selepasmu nanti.

Umar berkata: Aku tak balas? Sedangkan aku tengok Rasulullah SAW sanggup biarkan dirinya dibalas! Biarlah dia balas balik hingga dia redha. Tepi! Biarkan dia balas.’

Umar menebus dari lelaki itu sebanyak 200 dinar, sebagai pampasan dua dinar bagi setiap satu sebatan. (Kehidupan para Sahabat, Al-Kandahlawi 2/97)

Beberapa pengajaran dari kisah ini:

1) Pemimpin utama mesti memantau apa yang dibuat oleh pegawai yang ditugaskan, kerana mungkin ada perkara silap yang dilakukan.

2) Ayat dalam surat pekeliling hendaklah terang dan jelas maksudnya supaya arahan yang diberi dipatuhi.

3) Jika ada perkara yang tidak berpuas hati, boleh dikemukakan, tetapi dengan cara yang beradab dan mengikut saluran.

4) Pemimpin kemudian hanya menurut perkara-perkara baik yang ditunjuk oleh pemimpin terdahulu. Legasi yang baik dituruti.

5) Pampasan dalam bentuk wang ringgit boleh digunakan, dengan jumlah yang munasabah dengan kesalahan yang dilakukan. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -