‘Saksama Bersama’ mengangkat wanita sebagai pemimpin

- Advertisement -

SAYA menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengangkat ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022. Usaha ini untuk mengangkat martabat wanita seterusnya membawa wanita bersama-sama mengembangkan potensi diri dalam semua bidang tanpa pengecualian terutama dalam aspek kepimpinan. 

Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri (KPWKM) dalam sesi jawapan lisan Dewan Rakyat pada hari ini ada menyatakan bahawa Kerajaan sentiasa komited untuk mengangkat suara wanita sebagai pembuat dasar. Buktinya, sehingga kini hampir 25.8 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor swasta. 

- Advertisement -

Di samping itu, Kementerian juga sedang berusaha untuk memperkasakan wanita dengan melaksanakan pelbagai program bagi mengasah bakat kepimpinan wanita antaranya Forum Kepimpinan wanita, Program Simposium Wanita dan banyak lagi. 

Oleh itu, masyarakat khususnya para wanita seharusnya mengambil peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan dengan menyertai segala latihan serta advokasi yang dijalankan demi melahirkan lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar sekali gus mewujudkan peluang yang adil untuk para wanita. 

Hal ini kerana, kepimpinan wanita amat penting dalam pembangunan negara bagi memastikan suara wanita benar-benar diangkat. 

Tambahan pula, agama Islam tidak pernah menghalang wanita untuk menjadi pemimpin malah membuka peluang yang sama untuk Wanita saling bekerjasama ke arah kebaikan. Sebagaimana Firman Allah S.W.T:

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِناتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعض

“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.”

Oleh itu, usaha kerajaan dalam mengiktiraf kesaksamaan golongan wanita untuk turut memimpin wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat. Akhirnya, saya mengucapkan ‘Selamat Hari Wanita Antarabangsa’ kepada semua wanita di Malaysia khususnya. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -