Malaysia tegas tolak LGBT, tangani gejala berkaitan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia, malah perbuatan homoseksual bertentangan dengan undang-undang negara. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan, perbuatan tersebut bukan sahaja bertentang undang-undang jenayah Syariah, malah juga undang-undang Sivil negara ini. 

- Advertisement -

“Di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah,” ujarnya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) di Dewan Rakyat, Parlimen sebentar tadi.

Jelasnya, hal tersebut selari dengan pegangan Malaysia kepada Islam sebagai agama Persekutuan yang menerapkan nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama sekian lama diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kerajaan katanya, melalui mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan dalam kenyataan beliau pada 16 Jun 2019 di Cambridge Union, United Kingdom bahawa Malaysia bertegas tidak akan mengalah dalam isu ini. 

Iaitu kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang di kalangan rakyat negara ini, terutamanya yang melibatkan unsur LGBT dan Tun Mahathir juga menegaskan bahawa Malaysia seharusnya berpegang teguh kepada nilai-nilai moral. 

“Yakni berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan di kalangan masyarakat tempatan. Justeru, Kerajaan berharap agar isu sosial melibatkan golongan LGBT ini dapat diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk NGO dan masyarakat awam.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat Islam di Malaysia.

“(Gejala) yang semakin meruncing, dengan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV / AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, pengamalan gaya hidup songsang dan sebagainya. 

“Pelaksanaan PTSI juga mendukung kepada Dasar Sosial Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” ujarnya memberitahu kerajaan memandang serius isu berkaitan golongan LGBT yang semakin membimbangkan mutakhir ini. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -