Tidak lapor permintaan rasuah, ‘Addy Kana’ didenda

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 kepada seorang ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana’ kerana tidak melaporkan permintaan rasuah seorang pegawai penguat kuasa tiga tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh turut mengarahkan Zaidi, 38 tahun dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

- Advertisement -

Mengikut kertas pertuduhan, Zaidi tanpa alasan yang munasabah tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis permintaan suapan wang tunai yang telah dibuat kepadanya sekitar Julai 2019 di sebuah hotel di Puchong, Petaling, dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes yang dibacakan jurubahasa, tertuduh merupakan pekerja kepada seorang ahli perniagaan menjalankan perniagaan berunsurkan aktiviti tidak bermoral dan perjudian telah bertemu dengan seorang pegawai sebuah badan penguat kuasa di sebuah hotel di Puchong sekitar Julai 2019. 

Penguat kuasa itu telah meminta suapan RM110,000 setiap bulan dengan tujuan untuk tidak mengambil tindakan atas perniagaan majikannya dan Zaidi tidak melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM atau polis.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Zaidi yang diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisham memohon hukuman dalam bentuk denda dan sedia membayarnya.

“Tertuduh mempunyai seorang isteri yang masih berpantang selepas melahirkan anak kelimanya dan turut menjaga bapa berumur 74 tahun. Dia juga menyesal dengan kesalahan dan berjanji tidak mengulanginya. Pengakuan bersalahnya juga menjimatkan kos dan masa kesemua pihak,” kata Effa Azuin.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab bagaimanapun memohon kepentingan awam diletakkan sebagai pemberat dalam menentukan hukuman.

“Tertuduh gagal memaklumkan kepada SPRM atau polis bahawa dia diminta suapan rasuah RM110,000 setiap bulan. Tertuduh seharusnya lebih mengetahui dan bertanggungjawab jika terdapat apa-apa permintaan rasuah, seharusnya dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Rozilah sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan Zaidi bahawa kesalahan tidak melaporkan rasuah merupakan perbuatan serius dan jika dilaporkan, ia boleh mencegah dan mengekang rasuah daripada berlaku. – BERNAMA

- Advertisement -