15 pendaki wanita azam tawan Everest Base Camp

- Advertisement -

SEPANG: Seramai 15 pendaki wanita negara membawa misi membentangkan kemeja-T gergasi bersaiz 250 XL menerusi misi Everest Base Camp (EBC) Mountaineering De Femina sempena sambutan Hari Wanita 2022.

Majlis pelepasan ekspedisi pendaki wanita berusia antara 22 dan 56 tahun itu hari ini disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Bercakap selepas majlis pelepasan itu, Rina mendoakan perjalanan dan pendakian kesemua peserta ke Everest berjalan lancar serta berharap semangat yang ditonjolkan mereka akan menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain.

- Advertisement -

“Kejayaan pendakian mereka ke EBC bukan sahaja membawa nama wanita malah bawa nama Malaysia.

“Inilah sumbangan wanita hebat kepada negara. Kejayaan mereka kelak akan jadi bukti bahawa golongan wanita boleh berada di mana sahaja,” katanya.

Rina berkata ekspedisi melibatkan pelbagai peringkat terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan penjawat awam itu bertepatan dengan tema sambutan Hari Wanita 2022 iaitu Saksama Bersama kerana ia mencerminkan semangat berpasukan yang ditonjolkan kesemua peserta.

Sementara itu, ketua misi tersebut Prof Madya Dr Farha Abdol Ghapar, 45, berkata semua peserta amat teruja memulakan misi pendakian ke EBC selepas tertangguh sejak 2020 akibat pandemik COVID-19.

“Kami telah buat segala persediaan rapi sejak 2019. Latihan kami lakukan hingga ke Filipina sebelum pandemik COVID-19 melanda. Doakan pendakian selama 12 hari kami ini selamat,” katanya.

Beliau berkata ekspedisi itu melibatkan pendakian sejauh 130 kilometer sebelum menawan EBC setinggi 5,364 meter. 

“Bila tiba di EBC, kami akan bentang T-shirt bersaiz gergasi untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -