Majlis Syura tetap main peranan selamatkan ummah

- Advertisement -

Oleh ZULKIFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Majlis Syura Ulamak akan terus memainkan peranan bagi menyelamatkan ummah dan menyatukan umat Islam di negara ini.

Setiausahanya Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Majlis Syura akan terus memainkan peranan dengan pendekatan tersendiri untuk memastikan politik Islam bertapak lebih kukuh di bumi Malaysia.

Katanya, Majlis Syura mempunyai cara tersendiri dalam melayari bahtera perjuangan yang masih jauh.

- Advertisement -

“Majlis Syura akan menggunakan pendekatan dan strategik yang sesuai dengan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Adalah diharap Majlis Syura Ulamak PAS juga dapat memayungi gerakan Islam di seluruh dunia dengan mengambil kira banyak yang tidak sepatutnya berlaku muncul sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak yang baharu menggantikan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Pelantikan itu dibuat pada mesyuarat kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pelantikan terbabit sebagai amanah yang besar perlu dipikulnya.

Bagaimanapun kata beliau jawatan itu tidak asing lagi baginya kerana sebelum ini lebih 10 tahun pernah dilantik memegang jawatan tersebut.

“InsyaAllah saya akan memastikan Majlis Syura Ulama berjalan berdasar hala tuju yang ditetapkan perlembagaan PAS.

“Majlis Syura merupakan badan tertinggi dalam PAS yang berperanan menetapkan dasar-dasar parti termasuk hubungan PAS dengan parti-parti politik lain.

“Ini peranan yang sangat besar perlu dimainkan Majlis Syura Ualma,” katanya yang juga ahli parlimen Pasir Puteh.

Oleh itu beliau merakam ucapan terima kasih kepada Mursyidul Am Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan timbalannya Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob serta Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di atas pelantikan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -