Hala Tuju Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan 2020

- Advertisement -

SEMALAM saya telah diberi penerangan mengenai Hala Tuju Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan 2020 oleh pegawai dari Pusat Nano Kebangsaan dan Nano Malaysia Berhad mengenai bahan grafin (graphene) yang merupakan satu sumber alam yang dijumpai pertama kali ditemukan pada tahun 2004 oleh Geim dan Novoselov di Universiti Manchester di UK. Penemuan ini membolehkan mereka menerima Hadiah Nobel pada tahun 2010.

- Advertisement -

Apa itu grafin? 

Grafin merupakan satu lapisan atom karbon berstruktur 2 dimensi, berbentuk seperti lembaran sarang lebah, setebal satu lapisan atom, hampir 1 juta kali lebih nipis daripada rambut manusia. Manusia menggunakan grafit bentuk biasa dalam pensel. Satu milimeter grafit ia mampu mengandungi 3 juta lapisan Graphene.

Apa kegunaan grafin?

Sifat Graphene yang boleh mengalirkan haba serta elektrik menyebabkan ianya banyak digunakan di dalam sektor industri dan teknologi terutamanya di dalam pembuatan transistor, mikrocip, pengembangan dakwat konduktif dan lain-lain. 

Grafin yang merupakan bahan advanced material juga turut digunakan di dalam penghasilan sumber tenaga dengan kadar berganda bagi penjanaan tenaga suria (solar). Ianya juga merupakan penemuan baharu bagi peningkatan keupayaan bateri berbanding bateri konvensional di mana bahan elektrod bateri konvensional akan menjadi berkuasa dengan ketara apabila dipertingkatkan dengan grafin. 

Bateri yang dihasilkan menggunakan bahan grafin boleh menjadi ringan, tahan lasak dan sesuai untuk penyimpanan tenaga berkapasiti tinggi, serta memendekkan masa pengecasan. Ia akan memanjangkan hayat bateri. Ia juga digunakan dengan meluas di dalam bidang perubatan dan kimia.

Di dalam banyak produk dan impak positif penggunaan grafin di dalam industri dan kehidupan, saya tertarik dengan satu contoh penggunaan bahan grafin yang kini di dalam fasa pengujian kepada sistem penghawa dingin bangunan. 

Di dalam ujian yang dijalankan pada sistem penghawa dingin pejabat, terdapat 18-40 peratus pengurangan penggunaan tenaga elektrik dengan penggunaan bahan nano dalam sistem penghawa dingin.

Bayangkan grafin ini digunakan oleh pengguna domestik satu hari nanti. Berapa banyak penjimatan yang boleh diperoleh pengguna domestik kelak.

Saya telah meminta supaya selain memfokuskan penjimatan dalam sektor industri dan skala besar, kajian yg telah dibuat pada skala kecil seharusnya boleh membantu rakyat di peringkat akar umbi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dari penghawa dingin di rumah masing-masing. Ia dapat sedikit sebanyak membantu menyerap beban sekiranya berlaku kenaikan tarif elektrik.

Bagi memastikan penghasilan produk berasaskan grafin ini menepati ciri-ciri keselamatan dan tidak memudaratkan alam sekitar, Nano Malaysia dengan Kerjasama Pusat Nano Malaysia akan memantau keseluruhan ekosistem dan industri yang mempunyai kaitan dengan bahan grafin bagi memastikan ianya boleh menjana pendapatan yang signifikan bagi ekonomi Malaysia. 

Pensijilan dan Perakuan Produk (NANOVerify) akan menjadi asas penting bagi penghasilan produk berasaskan nano dan grafin di Malaysia berdasarkan standard yang tinggi.

DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – HARAKAHDAILY 22/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044064822391/posts/490576745754482/

- Advertisement -