Kahwin guna sindiket dibimbangi tidak ikut hukum syarak

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA KRAI:
Kerajaan menasihati sekiranya ada pasangan yang berhasrat untuk berkahwin di sempadan negara supaya tidak menggunakan khidmat sindiket nikah yang tidak sah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkahwinan menggunakan khidmat sindiket nikah dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak.

Katanya lebih dibimbangi lagi boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah.

- Advertisement -

Selain itu ia juga dibimbangi akan menimbulkan sebarang masalah untuk mengurus dokumen seperti pendaftaran anak kelak.

“Tanpa sijil sah, masalah akan timbul dalam urusan pendaftaran anak kelak. Ia akan menyebabkan rantaian masalah dalam urusan seperti persekolahan dan perubatan anak di hospital.

“Sebaiknya, bagi mereka yang ingin berkahwin perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan yang jelas dan telah ditetapkan selain memilih kaedah yang disahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima pada majlis penyampaian sumbangan program Jom ke Sekolah 2022 di Dewan Majlis Daerah Dabong, Manek Urai Baru di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah serta pimpinan tempatan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan membuka kembali pintu sempadan negara, di mana ia boleh menyumbang kepada peningkatan peratusan pernikahan melalui khidmat sindiket.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah untuk menunaikan ibadah umrah.

Terdahulu pada majlis itu seramai 300 murid sekolah rendah dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Manek Urai, Dabong. Mengkebang dan Guchil menerima sumbangan berbentuk pakaian kelengkapan persekolahan.

Sumbangan tersebut sebahagian daripada RM2.83 juta peruntukan Yayasan Taqwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf yang menghadapi masalah kewangan. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -