Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Dewan Ulamak PAS Arau mengadakan program Ziarah Mahabbah menyantuni golongan veteran sebagai menghargai pengorbanan mereka bersama perjuangan Islam sebelum ini.
Ketuanya, Ustaz Mohamad Nasir Nyan berkata, pada program ramah mesra tersebut, pimpinan yang menerajui parti sekarang dapat mendengar pelbagai pengalaman yang mereka kongsikan.
“Dengan aktiviti sebegini, kita dapat belajar bagaimana perjalanan serta pengorbanan yang dilakukan oleh orang terdahulu untuk terus mempertahankan Islam sehingga ke hari ini.
“Selain ramah mesra, kita juga memberi cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenangan,” katanya selepas ziarah tersebut semalam.
Turut hadir Setiausaha Dewan Ulamak PAS Arau Noryusry Mansor dan Ketua Lajnah Alimat Ustazah Noor Seri Osman. Sebanyak 10 golongan veteran disantuni masing-masing di Dun Pauh dan Guar Sanji.
Mohamad Nasir juga berkata, program ziarah tersebut diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara waris aktivis yang telah tiada dengan saf kepimpinan Dewan Ulamak. – HARAKAHDAILY 14/2/2022