Oleh SARINA ISMAIL
SIK: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan jangan ada pihak cuba mengkaitkan ucapannya di Batu Pahat pada 12 Februari lalu dengan pentadbiran kerajaan Kedah.
Katanya apa yang disebut pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlaku pertandingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PN dan kemungkinan parti Bebas.
“Dalam pergelutan politik apabila adanya pertandingan maka akan berlaku perlawanan dan setiap orang pasti berkempen untuk partinya bukan untuk pihak lawan.
“Sewajarnya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan menganggotai PN saya mempertahankan parti saya dan memberi alasan kenapa ia perlu dipilih pada PRN Johor,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka peringkat negeri di Dewan Al-Hana, Sik, hari ini.
Menurutnya pihak yang mendakwa kononnya beliau tidak menghargai Muafakat Nasional (MN) atau menuduhnya bercakap atas fakta tidak betul diharap mendengar rakaman ucapannya sehingga tamat.
“Saya menyebut negeri yang diperintah Umno tidak stabil kerana saya mempunyai jawapan serta memberi contoh dan testimoni dalam ucapan saya. Jadi eloklah semua pihak dengar rakaman ucapan saya itu hingga habis,” ujar beliau.
Kata Sanusi lagi, kebanyakan negeri yang didominasi Umno seperti Perak, Johor dan Melaka dilihat tidak stabil dan berlaku pergolakan sebaliknya negeri yang sedikit wakil Umno (Kedah, Kelantan dan Terengganu) kedudukan negerinya stabil dan tiada pergolakan.
Menurutnya situasi itu terbukti apabila berlakunya PRN di negeri berkenaan berikutan tukar Menteri Besar, Ketua Menteri dan lain-lain.
“Saya bawa hujah ini negeri kerusi Umno banyak bergolak, negeri kerusi Umno sikit stabil dan tidak bergolak. Saya beri alasan kenapa PRN Johor rakyat perlu pilih PN dan tak boleh pilih parti lain. Kalau mereka juga nak beri alasan dan komen, sila beri dengan hujahnya sekali,” kata beliau.
“Walaupun saya bercakap ada banyak bergurau tapi fakta saya betul dan tepat. Jangan rawit (kait) dengan benda-benda lain. Bawa balik ke Kedah konon Kedah goncang. Itu bukan konteknya, yang saya berucap itu dalam kontek pilihan raya,” tambah beliau.
Kata beliau berikutan keputusan BN yang ingin bertanding solo pada PRN Johor maka pastinya parti itu akan bertembung dan berhadapan PN serta PH dan mustahil berucap menyokong parti yang berlawan dengan pihaknya. – HARAKAHDAILY 14/2/2022