5,410 pelajar UMK kembali ke kampus bermula 20 Mac

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia menerima kemasukan seramai 5,410 orang daripada 11,436 pelajar sesi akademik 2021/2022 secara fizikal ke kampus bermula 20 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMK, Prof Dr. Razli Che Razak berkata, proses kemasukan pelajar ke kampus UMK di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, kemasukan pelajar berdasarkan kepada kapasiti 70 hingga 100 peratus selaras dengan saranan Bilik Gerakan Covid-19 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

- Advertisement -

“Kemasukan pelajar mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) penjarakan dan kuarantin bagi memastikan kelancaran kemasukan pelajar.

“Terdapat dua kategori pelajar yang akan hadir iaitu pelajar yang akan menginap di kolej kediaman seramai 3,924 orang dan pelajar yang menginap luar kampus seramai 1,486 orang,” katanya di sini.

Dr. Razli juga berkata, UMK akan terus mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid sepanjang semester ini dan pihak fakulti sedia maklum SOP pengendalian kuliah, makmal atau aktiviti klinikal.

Manakala aktiviti luar kelas seperti sukan dan riadah, UMK turut menyediakan SOP terkini berpandukan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa sesuai dengan tahap pandemik.

“Hebahan kesihatan juga akan turut sentiasa diadakan bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK Kampus Kota, Larryson Joanis @ Oyok menyambut baik keputusan kementerian membenarkan kemasukan pelajar pada Mac ini.

Beliau berkata, pelaksanaan kemasukan semula di kampus banyak memberikan manfaat kepada pelajar terutamanya aspek fasiliti dan kemudahan yang lengkap untuk membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran.

“Pembelajaran di kolej lebih merangsang kepada proses perkembangan intelektual mahasiswa khususnya untuk aktiviti pembelajaran secara berkumpulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -