
JERUSALEM: Tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin semasa pertempuran di Tebing Barat yang diduduki lewat Ahad (13 Feb), beberapa jam selepas polis menyerbu kejiranan Baitulmaqdis timur yang tegang dalam percubaan membendung keganasan antara aktivis Yahudi ultranasionalis dan penduduk Palestin.
Pada awal Isnin (14 Feb), Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seorang remaja, Mohammad Akram Abu Salah, 17, meninggal dunia akibat terkena tembakan di bahagian kepalanya.
Laporan AP berkata, pertempuran tercetus selepas tentera Israel bergerak ke perkampungan Silat al-Harithiya dekat Jenin untuk menyerbu kediaman dua warga Palestin yang dituduh melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan berhampiran pos penempatan Tebing Barat pada Disember tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, seorang peneroka haram Yahudi di penempatan Homesh di Tebing Barat, Yehuda Dimentman terbunuh.
Kira-kira 475,000 peneroka Yahudi menetap di Tebing Barat bersama-sama kira-kira 2.9 juta rakyat Palestin, dalam komuniti yang secara meluas dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa, lapor pula Arab News.

Homesh adalah antara penempatan dikatakan tidak dibenarkan oleh kerajaan Israel yang telah dipindahkan oleh tentera pada 2005, namun peneroka haram masih meneruskan untuk menyusup ke sana untuk menetap sehingga mencetuskan ketegangan dengan rakyat Palestin di situ.
Terdahulu di Baitulmaqdis, pergolakan berlaku di Sheikh Jarrah, lokasi kejiranan di mana pertempuran berlaku pada tahun lalu yang telah mencetuskan perang 11 hari antara Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Berpuluh-puluh keluarga Palestin di Sheikh Jarrah dan kawasan kejiranan Baitulmaqdis timur yang lain berisiko diusir oleh pertubuhan peneroka haram Yahudi, dan ketegangan antara kedua-dua pihak sering menjurus kepada keganasan.
Pergolakan terbaharu tercetus selepas rumah seorang peneroka haram Yahudi dikatakan dibakar pada hujung minggu.
Seorang penggubal undang-undang ultranasionalis, Itaat Ben-Gvir bertindak balas terhadap kebakaran berkenaan dengan menubuhkan pejabat sementara awal Ahad.
Penduduk Palestin menyerbu pejabat sementara Ben-Gvir itu dan membaling kerusi plastik pada sebelah petang, selain bergelut dengan penyokongnya.
Lewat Ahad itu juga, polis rusuhan menyembur air berbau busuk untuk memecah protes rakyat Palestin tersebut. Sebuah video tular di media sosial menunjukkan seorang anggota polis Israel menendang seorang pemuda Palestin. Polis melaporkan sekurang-kurangnya 12 tangkapan.

Dalam pada itu, perkhidmatan perubatan Bulan Sabit Merah Palestin berkata 14 rakyat Palestin cedera, termasuk empat orang ditembak dengan peluru getah. Letupan daripada bom tangan yang digunakan oleh polis untuk menyuraikan orang ramai kedengaran pada waktu petang.
Ben-Gvir yang merupakan pengikut seorang rabbi radikal yang menyeru pengusiran orang Arab dari Israel itu kemudian menuduh pihak polis menggunakan ‘kekejaman melampau’ terhadap pengikutnya.
Beribu-ribu rakyat Palestin tinggal di timur Baitulmaqdis menghadapi ancaman percerobohan haram warga Yahudi kerana dasar diskriminasi yang menyukarkan mereka untuk membina kediaman baharu atau mengubahsuai rumah sedia ada.
Israel sebelum ini menawan Baitulmaqdis timur, serta Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam perang Timur Tengah 1967. Ia kemudiannya mengambil alih timur Baitulmaqdis secara paksa dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Israel menganggap seluruh bandar itu sebagai ibu kotanya, manakala rakyat Palestin menuntut Baitulmaqdis timur sebagai ibu kota negara masa depan mereka. Perebutan bandar tersebut adalah salah satu isu yang menyebabkan konflik Yahudi-Palestin sejak berabad-abad lalu. – Agensi
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!