Pak Rahim AMAL Perak kembali kerahmatullah

Jadi tauladan legasi perjuangan, inspirasi kepada semua

- Advertisement -

IPOH: Pemergian tokoh Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Perak, Abdul Rahim Abdul Shukor, 71 kembali kerahmatullah diterima dengan rasa sedih oleh sahabat-sahabat seperjuangan PAS di seluruh negara.

- Advertisement -

Almarhum yang juga dikenali sebagai ‘Pak Rahim Komando’ dilaporkan semakin tenat sejak seminggu lalu dimaklumkan menghembus nafas terakhir pada kira-kira jam 4.40 petang di rumah anaknya di Pulau Pinang.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri berkata, jasa dan pengorbanan Almarhum sangat besar khususnya kepada jemaah dan amat wajar dijadikan teladan buat anak muda dalam meneruskan legasi perjuangan.

Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad menyifatkan Pak Rahim sebaga8 sukarelawan AMAL Perak yang sangat komited menjalankan tugas di lapangan jemaah di peringkat Kawasan, Negeri mahupun program-program besar PAS.

Katanya, berita pemergian sosok yang sangat banyak berjasa dalam PAS ini pastinya meruntun hati ramai pihak khususnya anggota AMAL Perak dan PAS Kawasan Taiping yang menjadi lapangan utama Almarhum bergiat aktif.

“Meskipun dimamah usia setelah bersara, kita telah menyaksikan Allahyarham Pak Rahim istiqamah menyumbang bakti dalam PAS. Oleh itu, semangat juang Pak Rahim dalam menjalankan gerak kerja jemaah (ini) hendaklah diteruskan oleh kita semua,” seru Dr Najihah.

Dalam pada itu beliau mengajak seluruh ahli PAS agar redha dengan pemergian veteran PAS ini dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan bersama-sama golongan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Almarhum telah sakit sejak lebih dua tahun lalu di mana pemergiannya meninggalkan seorang balu, Wok Azizah Abdul Aziz yang juga sedang diuji kesihatannya serta tujuh anak.

Semangat juang tinggi Almarhum sering menjadi inspirasi lebih-lebih lagi kerana pengalamannya sebagai bekas anggota pasukan khas Angkatan Tentera Batalion 22 GK yang telah berkhidmat selama 18 tahun.

Beliau juga pernah dikurniakan Pingat Perkhidmatan AM (PPA) 4 tahun servis dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) Sayap GGK AirBorn.

“Berjuanglah untuk Allah semasa kita muda dan bertenaga. Jangan (beri) macam-macam alasan untuk mengelak dari berjuang untuk Allah contohnya sebab kerjalah atau sebab anak-anak masih kecillah.

“Kita boleh berjuang dalam pelbagai segi, kalau tidak boleh berceramah atau berkuliah buatlah kerja-kerja lain. Kalau tak boleh secara terang-terangan boleh buat kerja-kerja belakang tabir, janji mahu berjuang,” ucap Almarhum Pak Rahim.

Pesanan tersebut dipetik daripada catatan blog yang mana pernah diungkapkan Almarhum kepada anggota AMAL Perak sebagai suntikan semangat dalam meneruskan perjuangan.

Almarhum pernah mengharumkan nama AMAL Perak dan PAS khususnya dalam membantu pasukan penyelamat apabila berjaya menjumpai mayat penerjun di Kubu Gajah yang mengambil masa 10 minit sahaja.

Sementara itu menurut maklumat daripada anaknya, Faridah Abdul Rahim, jenazah akan disolatkan di Masjid Kampung Ekspo, Kamunting jam 8:30 pagi ini.

Ahli PAS seluruh negara dijemput hadir beramai-ramai memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum dengan berpakaian lengkap uniform AMAL serta mendoakan segalanya dipermudah urusan oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -