AS luluskan jualan AS$100 juta, naik taraf peluru berpandu Taiwan

Foto fail bendera Taiwan dan Amerika Syarikat sempena mesyuarat di Taipei, Taiwan pada 27 Mac 2018. (FOTO Reuters)
- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah meluluskan urusniaga membabitkan penjualan peralatan dan perkhidmatan bernilai AS$100 juta (RM419 juta) kepada Taiwan bagi ‘mengekalkan, menyelenggara, dan menambah baik’ sistem pertahanan peluru berpandu Patriot yang digunakan oleh pulau yang dituntut oleh China itu.

Satu kenyataan daripada Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) berkata, ia telah menyampaikan pensijilan yang diperlukan yang memaklumkan kepada Kongres susulan kelulusan daripada Jabatan Negara bagi penjualan tersebut, sepertimana yang diminta oleh kedutaan de facto Taiwan di Washington.

- Advertisement -

“Peningkatan dalam  Sistem Pertahanan Udara Patriot Taiwan akan ‘membantu meningkatkan keselamatan penerima dan membantu dalam mengekalkan kestabilan politik, keseimbangan ketenteraan, ekonomi dan kemajuan di rantau ini’.

“Cadangan urusniaga ini memenuhi kepentingan negara, ekonomi dan keselamatan AS dengan menyokong usaha berterusan penerima untuk memodenkan angkatan tenteranya dan mengekalkan keupayaan pertahanan yang boleh dipercayai,” ujar kenyataan DSCA itu. 

Menurut DSCA, kontraktor utama  urusniaga AS-Taiwan itu ialah Raytheon Technologies dan Lockheed Martin.

Sehubungan itu, kementerian hal ehwal luar Taiwan berkata ia ‘sangat mengalu-alukan’ keputusan AS berkenaan.

“Dalam menghadapi perluasan ketenteraan China yang berterusan dan tindakan provokatif, Taiwan akan mengekalkan keselamatan negara ini dengan pertahanan yang kukuh, dan terus memperdalam perkongsian keselamatan yang erat antara Taiwan dan Amerika Syarikat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara, Kementerian pertahanan Taiwan pula menegaskan, keputusan untuk mendapatkan peluru berpandu Patriot yang lebih baharu dibuat semasa pertemuan pada tahun 2019 dengan pegawai AS dalam pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Kementerian berkata perjanjian itu dijangka ‘berkuat kuasa’ dalam tempoh satu bulan akan datang.

Terdahulu, pulau yang ditadbir secara demokrasi itu telah mengadu tentang misi berulang oleh tentera udara China di zon pertahanan udaranya, sebahagian daripada apa yang Washington lihat sebagai usaha Beijing untuk menekan Taipei supaya menerima kedaulatannya.

AS seperti kebanyakan negara, tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Taiwan, tetapi Washington adalah penyokong terbesar negara itu dan terikat oleh undang-undang untuk menyediakan sistem pertahanannya.

Taiwan  sebelum ini digesa AS agar memodenkan ketenteraannya supaya ia boleh menjadi  seumpama ‘landak’ yang sukar untuk diserang oleh China, dan urusniaga seperti penjualan senjata  terbaharu ini sentiasa menimbulkan kemarahan negara komunis itu.

Duta China ke AS pada bulan lalu dalam kenyataannya berkata, kedua-dua kuasa besar itu boleh berakhir dalam konflik ketenteraan jika Washington menggalakkan ‘kemerdekaan’ Taiwan  itu. – Reuters.

- Advertisement -