Kenduri Guyupan eratkan PAS-BERSATU Sungai Besar

- Advertisement -

SUNGAI BESAR: PAS Kawasan Sungai Besar dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Besar telah mengadakan Kenduri Guyupan di Markas Tarbiyah Darul Salam, Simpang Lima, di sini baru-baru ini.

Majlis kesyukuran ini turut dianjurkan bersama oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya sebagai penghargaan kepada para petugas PAS dan BERSATU yang telah banyak membantu menjayakan program di Parlimen ini.

- Advertisement -

Antara pimpinan PAS Sungai Besar yang hadir adalah Yang Dipertua, Ustaz Fadzin Taslimin dan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Razali Saari serta Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Fauzan Naim dan Ketua Muslimat, Meseripah Sirat.

Majlis secara gotong-royong memasak ini dimulakan dengan bacaan surah Yaasin dan tahlil, seterusnya solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan surah al-Kahfi yang dipimpin oleh Ustaz Razali. 

Beliau sempat mengingatkan para jemaah supaya membaca dan menghafaz sepuluh ayat pertama dari surah Al-Kahfi pada setiap hari sebagai perlindungan dari fitnah Dajal. 

“Ini kerana Nabi Muhammad SAW telah menyatakan tiada musibah yang lebih hebat daripada Dajal sejak penciptaan Nabi Adam AS hingga hari Kiamat. 

“Baginda juga mengajarkan umatnya untuk berdoa, “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu dari musibah Dajal”,” ajar beliau.

Menurutnya lagi, bertepatan dengan senario politik hari ini, perpecahan politik Melayu adalah disebabkan pelbagai fitnah yang melanda dan sekiranya ingin melihat nasib Islam dan Melayu terbela, hanyalah dengan membentuk kesatuan.

Kehadiran tetamu seramai 200 orang itu juga katanya, membuktikan kerjasama erat antara PAS dan BERSATU kekal wujud dan kesatuan ini perlu diteruskan demi kemaslahatan umat Islam khususnya dan bangsa Melayu amnya di Malaysia ini. – HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -