Alur cetek punca khidmat feri dihenti sementara

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Alur pelayaran yang cetek menyebabkan operasi feri penumpang bagi laluan Kuala Perlis–Langkawi dihentikan sementara bermula 10 hingga 13 Februari ini dan 12 hingga 13 Mac depan.

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Baharin Baharom berkata, langkah tersebut dilakukan bagi mengurangkan beban pengguna sekiranya berlaku penangguhan perjalanan feri secara tergesa-gesa.

“Sebelum ini feri penumpang masih boleh beroperasi pada kedalaman aras laut satu meter (m), tetapi dinaikkan kepada 1.5 m dan kemudiannya dinaikkan kepada 1.6 m mengikut maklumat yang disediakan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

- Advertisement -

“Tetapi sekarang paras laut 1.6 m pun feri tidak boleh beroperasi kerana lumpur berkumpul dengan banyak kerana sebelum ini feri tidak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun menurut Baharin, operasi feri pengangkutan (RORO) tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa kerana reka bentuknya berbeza dengan feri penumpang.

“Feri RORO memang direka khas boleh mendarat di atas pasir bagi membolehkan kenderaan dipandu masuk, berbeza dengan feri penumpang yang memerlukan kedalaman air untuk beroperasi.

“Oleh itu, saya menasihati pelancong yang ingin ke Langkawi menggunakan laluan feri penumpang Kuala Kedah atau menaiki feri RORO di Kuala Perlis,” katanya.

Akhir tahun lepas isu itu dibangkitkan Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dengan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya beliau meminta Kementerian Pengangkutan menyelesaikan segera pelantikan kontraktor bagi melakukan kerja mendalam muara sungai Kuala Perlis.

Dan semalam kerja-kerja pengorokan kecemasan feri dimulakan kontraktor.

Sementara itu seorang penjual buah-buahan di sini, Zainudin Ismail, 54 berkata gerai tetap dibuka, namun jualan agak berkurang kerana hanya RORO sahaja yang beroperasi sekarang.

“Alhamdulillah, kerajaan negeri melakukan tindakan pantas dengan membuang lumpur bagi mempercepatkan feri penumpang untuk beroperasi,” katanya.

Seorang pengusaha syarikat pelancongan, Azelan Azeman berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku sepanjang beliau terbabit dengan industri tersebut.

Kerja-kerja memperdalamkan alur.

“Kami terpaksa menanggung kerugian kerana sebelum ini pun feri yang beroperasi hanya sedikit.

“Tetapi Alhamdulillah, tindakan pantas kerajaan melakukan proses pengorokan memang bagus, supaya pihak kami tidak berterusan menanggung kerugian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -