Amaran MAFI elak main sentimen harga ayam

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR  PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada  pemain industri ayam jangan  mempermainkan isu kenaikan harga  ayam dan telor sehingga kenaikan  harganya terumbang ambing di pasaran tempatan.
           
Timbalan  Menterinya Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan akan bertindak jika pemain  industri itu terus mempermainkan isu  itu sehingga membebankan pengguna apabila harganya  melambung di luar dibenarkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Jangan menyalahkan kerajaan jika  mereka  berdepan dengan tindakan tegas daripada kerajaan,” katanya  kepada pemberita selepas  merasmikam pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja TJW  FC di Agro Resort Jeram Mengaji, Selising di sini semalam.
           
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Saripudin Tuan  Ismail.
           
Dr  Nik Muhammad Zawawi  yang  juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berharap  amaran  dipatuhi dan diambil  perhatian pihak yang terbabit  agar menghentikan  perbuatan  itu  dengan segera.
           
“Kerajaan tidak akan berdiam diri  dan  bertolak ansur terhadap mereka yang  cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas  dalam  negara,” katanya.

Kata beliau juga kerajaan mendapati banyak maklumat mengenainya  daripada pelbagai  pihak ada yang  sengaja dicetus termasuk mahu membakar anak ayam  semata-mata ingin menaikan harga.
           
Beliau berkata, kerajaan mempunyai  perancangan jangka pendek dan panjang untuk menyelesaikan masalah  itu termasuk meluluskan lesen import ayam dan telor dari luar negara kepada  individu bagi menstabilkan  harga di pasaran tempatan supaya  tidak membebankan pengguna. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

- Advertisement -