Oleh SYAHIRAH SALLEH | Foto RIZAL TAHIR
BANGI: Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkongsi pengalaman bersama dengan akhbar Harakah pada Malam Apresiasi Harakah di sini, malam tadi.
Menurutnya, beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Harakah sejak zaman Dato’ Kamarudin Jaffar dan Dr Rosli Yaakop yang kemudian sebagai Pengerusi ALP.
“Dulu, saya kadang-kadang pukul 2 pagi, saya pergi pejabat Harakah untuk nak check, nak tengok, oleh kerana saya dilantik sebagai penasihat editorial, jadi final check tu saya.
Pukul 2 pagi pergi, kadang-kadang balik ceramah, balik singgah Harakah. Lepas tu kenallah terutamanya bahagian teknikal ni,” ujarnya.
Katanya, beliau melakukan demikian dua kali seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Selasa.
“Pukul 11 pagi, kita akan jumpa untuk nak tengok, nak bincang apa tajuk-tajuk yang kita nak letak muka surat depan dan belakang.
“Lepas tu, dan malam pula saya mari check dan tengok, kadang-kadang 2 pagi, kadang-kadang pukul 3 pagi. Ikutlah.
“Kalau saya outstation, tunggu hari nak tengok, untuk melihat bagaimana keadaan perjalanan Harakah ketika itu,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau membuat semakan itu terutama mengenai kandungan termasuk tajuk yang sesuai sama ada sensitif atau tidak dengan parti.
“Itu yang menjadi tugas saya semasa saya dilantik sebagai penasihat editorial pada ketika itu.
“Jadi alhamdulillah Harakah semakin baik perjalanan dia. Inilah yang kita mahu dari semasa ke semasa. Dia bertambah baik, pada zaman saya dulu kemudian selepas daripada itu Kamaruzaman, Ir Khairil,” jelasnya.
Dengan perubahan yang berlaku itu, beliau turut mengaitkan dengan kata-kata Saidin Umar Al Khattab yang menyebut biarlah amalan hari ini lebih baik daripada amalan semalam.
“Amalan esok lebih baik daripada amalan hari ini. Maka saya yakin dan percaya perjalanan Harakah juga akan bergerak dengan baik dan teratur oleh kepimpinan yang ada pada hari ini, insya-Allah.
“Kita mendoakan selagi PAS berpegang dengan prinsip dasarnya, maka kita akan meneruskan perjuangan melalui jihad kitabah, jihad melalui penulisan,” katanya lagi.
Beliau menambah, walaupun menyedari cabaran yang ada pada hari ini iaitu media sosial atau media elektronik kepada Harakah, namun kepimpinan melakukan sesuatu yang sesuai dengan perkembangan zaman.
“Walaupun kita sedar cabaran pada hari ini, cabaran media sosial ataupun media elektronik menjadi cabaran kepada kita, namun inilah yang akan dilakukan oleh kepimpinan Harakah supaya Harakah pergi bergerak sesuai dengan perkembangan zaman dan sesuai dengan revolusi maklumat yang pantas, maka insya-Allah, Harakah juga tak akan ketinggalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada para petugas akhbar rasmi PAS itu supaya menjadanya dengan baik.
“Jagalah amanah Harakah ini baik baik. Bila nak menulis, kena fikir apa yang kita bawa ini merupakan amanah daripada satu juta ahli PAS.
“Yang kedua, apa yang kita tulis untuk bawa berita ni juga mestilah tidak kontra dengan dasar dan perjuangan yang dibawa parti PAS,” ujarnya lagi.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga mengingatkan kakitangan Harakah bekerja sebagai anggota parti dan sayang kepada PAS.
“Ini salah satu jihad yang tuan puan kerja dalam bidang seperti begini, kerana ada yang terlibat dalam bidang pendidikan, jadi tuan puan semua berkhidmat sebagai orang yang berkhidmat dengan media parti. Buatlah betul betul, tuan puan lakukan bagi kebaikan kepada Harakah,” katanya.
Selaku Pengerusi ALP Harakah, beliau juga menyeru wartawan memiliki ilmu yang mesti rajin membaca dan mencari maklumat supaya apa yang ditulis tidak mendatar sahaja.
Katanya, mereka memerlukan kepada analisis dan ilmu yang mendalam.
“Kita harapkan tuan puan semua mesti jadi orang yang tekun dalam mempelajari dan memahami tentang ilmu politik, ilmu analisa terhadap perkara-perkara yang berlaku. Semoga penulisan yang kita tulis itu sentiasa segar dan sentiasa menarik, sentiasa penuh dengan maklumat.
Beliau berharap semua kakitangan terus bekerja bersama dengan Ketua Pengarah Eksekutif yang baharu dalam satu pasukan bagi memastikan Harakah terus menjadi sumber maklumat kepada ahli parti.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galeri Media Serbanika Berhad, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan bekas CEO, Kamaruzaman Mohamad.
Kakitangan yang berkhidmat lebih daripada 15 tahun diberikan cenderahati pada majlis yang berakhir kira-kira jam 11.00 malam itu. – HARAKAHDAILY 6/2/2022