Syarikat kontrak, syarikat R&D perlu kelulusan status

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Takrifan “Syarikat Kontrak Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan “Syarikat R&D” di bawah seksyen 2 Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA) telah dipinda bagi mendapatkan kelulusan sebagai berstatus syarikat R&D oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ini susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 di Dewan Rakyat pada 23 Disember 2021, yang melibatkan beberapa pengumuman dalam Bajet 2022 serta pindaan berkaitan, termasuk PIA.

- Advertisement -

“Syarikat-syarikat dalam perniagaan menyediakan perkhidmatan R&D seperti syarikat kontrak R&D dan syarikat R&D yang berhasrat memohon insentif cukai R&D akan diberikan status R&D (tertakluk kepada kelulusan MITI) bagi tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA menjelaskan, RUU Kewangan 2021 itu juga menyatakan bahawa syarikat-syarikat kontrak R&D dan syarikat-syarikat R&D sedia ada yang telah diberi kelulusan sebagai syarikat R&D sebelum 1 Januari 2022, perlu memaklumkan MIDA dalam tempoh tangguh iaitu dari 1 Januari 2022 hingga 30 Jun, 2022 bagi tujuan pertimbangan.

“Syarikat-syarikat yang mendapat kelulusan status itu boleh memohon bagi mendapatkan lanjutan MIDA. Bagaimanapun, kelulusan terbabit adalah tertakluk kepada pertimbangan MITI dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Menurut agensi itu, sejajar dengan alasan berkenaan, syarikat-syarikat perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan R&D sebagaimana ditakrifkan di bawah PIA serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum ini dalam surat kelulusan masing-masing.

“Sebarang kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan syarikat-syarikat terbabit kehilangan status sebagai syarikat diluluskan yang menepati takrifan atau definisi syarikat kontrak R&D dan syarikat R&D,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -