KKM akan usul buka semula sempadan negara

Apabila kadar dos penggalak lebih baik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengusulkan kepada kerajaan pembukaan semula sempadan negara dan lain-lain kelonggaran seperti tempoh kuarantin apabila kadar pemberian dos penggalak untuk dewasa dan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak mencapai tahap lebih baik.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata walaupun kadar pemberian dos penggalak untuk golongan dewasa telah melepasi 50 peratus setakat hari ini, beliau masih mahu melihat angka lebih tinggi sebelum membuat cadangan pembukaan semula sempadan serta kelonggaran lain.

- Advertisement -

“KKM sedang menjalankan perbincangan dalaman apakah nilai ambang yang kita rasa selesa daripada segi pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan dos penggalak. Kita akan membuat usul kepada mesyuarat kuartet.

“Saya mahu lihat sedikit lagi (kadar dos penggalak). Saya merayu, kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak untuk berbuat demikian dan ibu bapa untuk daftarkan anak-anak mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Menurut Khairy setakat ini, 30 peratus daripada golongan warga emas belum menerima dos penggalak mereka manakala untuk kumpulan remaja dan kanak-kanak, pakar belum mengesyorkan pemberian suntikan tersebut. 

Sementara itu, beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak panik dengan jumlah kenaikan kes COVID-19 kebelakangan ini dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat khususnya akibat penularan varian Omicron.

“Apa yang kita perlu lihat sekarang adalah pada keseriusan kes dan bukannya pada angka kes. Jika kita lihat pada kes semata-mata sudah tentu kita akan bimbang tapi kita jangan panik.

“KKM sentiasa memantau data-data penting ini dan apa yang kita lihat sekarang adalah lebih banyak penginapan singkat di hospital. Setakat ini kita melihat peningkatan kes tidak berkaitan dengan keseriusan kes,” katanya. 

Khairy turut memaklumkan KKM sedang memantau perkembangan subvarian baharu Omicron seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Selasa.

Mengenai kluster pendidikan, beliau berkata buat masa ini terdapat 180 kluster jenis itu yang aktif dengan kebanyakan kes bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Februari dilaporkan di sekolah berasrama, namun tidak melibatkan kes serius selain tiada kes kategori empat dan lima dilaporkan.

Kluster pendidikan antaranya melibatkan 108 kluster di sekolah menengah asrama, sekolah menengah harian (12 kluster), sekolah rendah harian (13 kluster), prasekolah (10 kluster) dan kolej berasrama (19 kluster), manakala sekolah yang tutup akibat COVID-19 adalah 14 sekolah.

Mengenai kluster pendidikan, beliau berkata buat masa ini terdapat 180 kluster jenis itu yang aktif dengan kebanyakan kes bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Februari dilaporkan di sekolah berasrama, namun tidak melibatkan kes serius selain tiada kes kategori empat dan lima dilaporkan.

Kluster pendidikan antaranya melibatkan 108 kluster di sekolah menengah asrama, sekolah menengah harian (12 kluster), sekolah rendah harian (13 kluster), prasekolah (10 kluster) dan kolej berasrama (19 kluster), manakala sekolah yang tutup akibat COVID-19 adalah 14 sekolah. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

- Advertisement -