Gunung berapi Taal: 152 gempa bumi dikesan sepanjang 24 jam

- Advertisement -

MANILA: Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) telah merekodkan 152 kejadian gempa bumi  dan letusan freatomagmatik kecil di Gunung Berapi Taal dalam tempoh pemantauan 24 jam.

Phivolcs dalam kenyataannya pada Khamis (3 Feb) berkata, sebanyak 152 gempa bumi termasuk 33 kejadian gegaran gunung berapi dengan tempoh satu hingga dua minit, 114 gempa bumi gunung berapi frekuensi rendah, lima kejadian hibrid dan gegaran latar belakang peringkat rendah yang berterusan sejak 7 Julai 2021.

- Advertisement -

“Satu letupan phreatomagmatic jangka pendek telah direkodkan pada jam 3:55 petang semalam yang berlangsung selama dua minit berdasarkan rekod seismik. Ia menghasilkan kepulan setinggi 300 meter yang diterbangkan ke bahagian barat daya,” ujat kenyataan Phivolcs dalam buletinnya yang disiarkan pada jam 8 pagi hari ini. 

Menurut Agensi itu lagi, timbunan cecair gunung berapi panas di tasik gunung berapi itu menghasilkan kepulan setinggi 900 meter yang hanyut ke selatan barat daya aktiviti yang didominasi di kawah utama gunung berapi itu.

“Pelepasan sulfur dioksida secara puratanya mencecah 7,902 tan sehari dicatat pada hari Rabu (2 Feb).

“Berdasarkan parameter ubah bentuk tanah daripada kecondongan elektronik, pemantauan GPS berterusan dan InSAR, pulau gunung berapi Taal dan wilayah Taal telah mula mengempis pada Oktober 2021,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Phivolcs menegaskan bahawa tahap amaran dua, yang menandakan pergolakan meningkat, telah dilabelkan terhadap gunung berapi Taal. 

Di bawah tahap amaran ini, letupan wap atau gas secara tiba-tiba, gempa bumi gunung berapi, penghasilan abu kecil, dan pelepasan gas beracun gunung berapi boleh berlaku dan mengancam kawasan berhampiran lokasi gunung berapi Taal yang terletak di pulau Luzon itu.

Walaupun merupakan antara gunung berapi terkecil di dunia, gunung berapi Taal yang terletak 50 kilometer dari Manila pernah meletus dengan dahsyat pada awal pagi 30 Januari 1911 menyebabkan 1,500 orang maut. – Inquirer. Net

- Advertisement -