Teknologi RFID perlu segera ditambah baik – pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi pembayaran tol di Lebuhraya Utara-Selatan yang bermula pada 15 Jan lepas mengharu-birukan pengguna apabila mereka terperangkap dalam kesesakan teruk di plaza tol yang berkenaan.

Semuanya gara-gara RFID tidak lancar seperti yang diharapkan, ditambah tindakan operator lebuh raya PLUS Malaysia Berhad menukar sebahagian besar lorong SmartTAG kepada RFID sedangkan majoriti pengguna masih kekal dengan peranti itu.

Susulan itu, pengguna mula mempertikaikan rasional PLUS menggunakan teknologi data digital RFID yang dianggap menyusahkan kerana kebanyakan pengguna “tersangkut” disebabkan pelekat RFID mereka tidak boleh dikesan oleh pengimbas.

- Advertisement -

Hal itu bertentangan dengan matlamat RFID yang bertujuan mengurangkan kesesakan dan mempercepat transaksi bayaran selain tiada kos penyenggaraan dan caj tambahan untuk tambah nilai kad prabayar tol.

Cabaran yang timbul pada hari pertama pelaksanaan RFID itu juga dilihat dapat menjejaskan usaha PLUS memansuhkan kutipan tol berpalang melalui Touch ‘n Go dan SmartTAG secara berperingkat yang disasarkan menjelang 2023.

Laksana sistem tol tanpa palang

Pengguna juga membangkitkan beberapa isu lain termasuk kos pemasangan pelekat RFID yang mahal, kualiti pelekat yang didakwa mereka mudah rosak selain kegagalan sistem pengesanan pelekat.

Perkara itu diakui oleh beberapa pakar kejuruteraan yang menyatakan rakyat sebenarnya bersedia menerima teknologi baharu asalkan teknologi yang diperkenalkan tersebut adalah yang terbaik dan memang memberi manfaat kepada mereka.

Kalau begitu banyak kelemahan dalam teknologi yang diperkenalkan serta tidak terlalu berbeza dengan sistem sebelum ini, sudah pasti pengguna akan mempertikaikan rasional menggantikan teknologi semasa dengan RFID, kata pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali.

Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil oleh PLUS bagi menambah baik sistem kutipan tol di lebuh raya kendaliannya, beliau berkata sistem yang lebih praktikal adalah tol tanpa palang.

“Sistem tol berpalang menyebabkan kenderaan masih perlu memperlahan ketika melalui pondok tol. Selain itu, apabila sistem tidak dapat mengesan tag atau pincang tugas, palang tidak dapat dinaikkan, sama sahaja dengan yang kerap dialami pengguna SmartTAG,” katanya kepada Bernama.

“Jika masalah SmartTAG yang pada masa ini digunakan oleh kira-kira lima juta orang turut dihadapi oleh pengguna RFID, akan timbul persoalan apa perlunya bertukar kepada RFID,” kata beliau lagi.

Menurut Dr Sawal Hamid, Singapura merupakan negara pertama di dunia menggunakan sistem tol tanpa palang apabila memperkenalkan Electronic Road Pricing (ERP) pada 1998 yang terbukti berkesan dalam mengurangkan kesesakan trafik.

“Sistem ERP memerlukan peranti yang beroperasi dengan kuasa bateri, sama seperti SmartTAG serta mempunyai kad, sepertimana kad ‘Touch ‘n Go’ yang mana kad ini boleh merekodkan baki duit dalam peranti tersebut,” jelasnya.

Transisi dan integrasi

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan operator melaksanakan RFID secara berperingkat bagi membolehkan pengguna lebuh raya membiasakan diri secara beransur-ansur dengan perubahan tersebut sambil pada masa sistem RFID ditambah baik.

“Lorong SmartTAG perlu dikekalkan, bukan semua tukar kepada RFID… dengan cara ini pengguna ada pilihan untuk guna Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.

“…apabila penggunaan sistem RFID sudah ditambah baik, maka barulah boleh dipertimbang untuk menukar lorong SmartTAG kepada lorong RFID,’’ sarannya.

Selain itu, beliau turut menyarankan integrasi e-dompet dan Touch ’n Go bagi membolehkan pengguna menukar lorong tol dengan mudah, sama ada RFID, SmartTAG atau Touch ‘n Go.

“Sekiranya tol berpalang masih digunakan, palang perlu dinaikkan walaupun baki duit dalam e-dompet tidak mencukupi dan baki bayaran tol boleh diambil balik secara automatik semasa pengguna membuat tambah nilai kad.

“Perkara-perkara ini perlu ditambah baik bagi memastikan penggunaan sistem RFID ini mempunyai manfaat dan dapat mengatasi masalah kesesakan serta menjamin kelancaran perjalanan kenderaan,’’ katanya.

Perlu lebih ergonomik dan selamat

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Irwan Syah Md Yusoff berpendapat kos pelekat atau tag RFID yang agak tinggi hingga menjadi perdebatan ramai perlu diberi perhatian serius.

Pelekat RFID yang berharga RM35 bersifat “tampal dan lekat”, sekali gus mudah terdedah kepada kerosakan.

“Konsep ‘tampal dan lekat’ memerlukan pengguna kenderaan menampal pelekat RFID pada bahagian lampu hadapan kenderaan yang boleh mendorong kecurian atau pihak tertentu merosakkan pelekat RFID (vandalisme),” katanya.

Isu harga pelekat itu turut menjadi dipertikaikan Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang menyifatkan pelekat RFID tersebut seharusnya dijual pada harga yang lebih munasabah iaitu antara RM1 atau RM2 sahaja.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Abdul Halim Husin pula menyarankan pihak berkaitan termasuk PLUS supaya menanggung sepenuhnya kos pengguna SmartTAG yang mahu beralih kepada RFID.

Sementara itu, Irwan Syah yang merupakan pakar ergonomik, keselamatan dan kesihatan pengguna serta kelestarian reka bentuk produk, turut khuatir keterdedahan kepada panas terik yang berpanjangan boleh menjejaskan keberkesanan pelekat RFID.

“Situasi seperti inilah yang boleh menyebabkan kenderaan yang melalui lorong RFID terpaksa berhenti mengejut (kerana palang tidak naik) dan menjadi penyumbang kepada kesesakan trafik yang semakin parah ketika waktu puncak dan seterusnya akan mengganggu aspek psikologi pemandu itu sendiri,’’ katanya.

Walaupun pada asasnya teknologi RFID yang diperkenalkan kerajaan itu adalah seiring dengan perubahan menuju ke arah negara maju berteknologi tinggi, teknologi tersebut mestilah selamat dan relevan untuk digunakan pengguna lebuh raya, katanya.

Antaranya, pelekat RFID perlu ditambah baik dengan mengaplikasikan kaedah mudah alih bagi membendung kehilangan pelekat sama ada akibat dicuri atau tertanggal.

“Konsep ini juga membenarkan pengguna kenderaan persendirian meletakkan pelekat RFID pada kedudukan yang mudah dikesan oleh pengimbas, sekali gus melancarkan aliran trafik,” katanya.

Susulan rungutan yang diterima, kerajaan pada 19 Jan lepas memutuskan supaya pengguna lebuh raya diberi pilihan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch ’n Go atau SmartTAG.

Berikutan itu, PLUS mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup di 19 lorong di 16 buah plaza tol, bagi melancarkan aliran trafik bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut seminggu lagi. – BERNAMA

- Advertisement -