Perhilitan diyakini mampu tangani ancaman harimau

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memindahkan masyarakat Orang Asli ke penempatan baru yang lebih selamat daripada ancaman harimau di pedalaman Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diyakini mampu menyelesaikan masalah itu.

“Tiada keperluan untuk pindah penduduk Orang Asli kerana Perhilitan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu, setakat ini mereka berusaha mengesan dua ekor harimau lagi yang merayau di perkampungan tersebut.

- Advertisement -

“Penduduk Orang Asli beri kerjasama yang baik. Kita nasihatkan mereka jangan keluar rumah. Makanan mereka saya difahamkan ada pihak yang urus bantuan tersebut,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Pada awal Januari lepas Perhilitan menembak mati seekor harimau belang yang membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai.

Perhilitan juga memasang tiga perangkap iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

Mohd Amar juga menafikan aktiviti pembalakan sebagai punca harimau merayau di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Bihai.

Menurutnya harimau yang berkeliaran dipercaya dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV) menyebabkan haiwan pemangsa itu mengalami hidung berair dan perubahan naluri.

“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan balak, bukan kerana penebangan hutan dan kalau kita baca laporan baru-baru ini ia ada kaitan faktor harimau kena penyakit.

“Kalau hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Sebelum ini ada pihak mendakwa banjir berlaku di Kelantan kerana tebang balak, sedangkan bukan faktor tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -