Bazar Tok Guru pusat jualan citarasa anak muda

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bazar Tok Guru akan dijadikan mercu tanda ikonik sebagai pusat jualan anak muda di bandar Kota Bharu.

Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (u-Bes) Kelantan Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihaknya akan mewujudkan pusat jualan belia dan beliawanis di Bazar Tok Guru.

Katanya, pusat jualan tersebut akan disesuaikan dengan citarasa anak muda sesuai gaya kehidupan mereka sekarang.

- Advertisement -

“Kita berharap projek tersebut akan memberi wajah baru kepada Bazar Tok Guru, bukan hanya sebagai pusat jualan dan pusat aktiviti perniagaan semata-mata.

“Malah ia sebagai pusat maklumat, pusat ilmu, pusat aktiviti anak muda serta pusat kesenian dan kebudayaan,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) hari ini.

Pada perbincangan tersebut PMBK diwakili Ketua Pegawai Operasi Wan Mohd Husni Wan Osman.

Nasruddin juga berkata, U-BeS akan mewujudkan pusat latihan kemahiran dan medan pelbagai aktiviti belia serta pusat jualan anak muda di aras tiga Bazar Tok Guru.

Menurutnya pusat jualan akan dikecualikan bayaran sewa selama setahun hasil kerjasama strategik dengan PMBK dalam usaha menghidupkan semula Bazar Tok Guru yang menjadi tumpuan pelancong sebelum ini.

“Saya difahamkan PMBK dalam proses memberi nafas baru dengan membuat penjenamaan semula bazar tersebut. Bazar Tok Guru mencatat banyak sejarah semenjak ia dibangunkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -