Habis hafazan 30 juzuk dalam masa sehari

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Hikmah Nurul Ain Solahudin, 17, menerima Anugerah Pelajar Syahadah kerana lulus ujian syahadah menghabiskan hafazan 30 juzuk dalam masa sehari.

Pelajar terbabit menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala seorang lagi pelajar, Mohd Ashif Yaakob menerima Anugerah Pelajar Inspirasi.

- Advertisement -

Mohd Ashif sedang menyambung pengajian Ijazah Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Beliau juga pernah mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan pada majlis hafazan bagi kategori juzuk 1-10, juzuk 1-20 dan juzuk 1-30 selama tiga tahun berturut-turut.

Pelajar terbabit menerima hadiah disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man sempena majlis meraikan kejayaan 41 pelajar Maahad Tahfiz Al Hikmah berjaya hafazan di sini baru-baru ini.

Turut dihadiri pada majlis berkenaan Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli dan mudirnya, Muhammad Rohim Kamis.

Muhammad Rohim ketika berucap pada program tersebut menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan pelajarnya menamatkan hafazan 30 juzuk.

“Al-Quran akan menjamin kejayaan dunia dan akhirat bagi para penghafaznya, malah saya menyaksikan sendiri mayat penghafaz al-Quran tidak reput walau sudah lama mati.

“Ilmu yang diwarisi ini merupakan ilmu yang diwarisi daripada Nabi Muhammad s.a.w, perlu diingati sehingga akhir kehidupan,” katanya.

Menurutnya juga majlis yang diadakan itu sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada pelajar lain yang sedang berusaha menamatkan hafazan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -