Percepat pengambilan tanah laksana projek rakyat

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kerajaan Kelantan mencapai persetujuan mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi melaksanakan projek bagi kepentingan rakyat.

Menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi KPLB iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

- Advertisement -

“KPLB dan KESEDAR membincangkan hal-hal berkaitan dengan kolaborasi kerjasama antara negeri dan Persekutuan yang melibatkan projek-projek di bawah KESEDAR.

“Contohnya pengambilan tanah, projek Persekutuan bawah KPLB, kerajaan negeri akan buat pengambilan tanah, jadi kita buat kolaborasi mewujudkan task force,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Ketua Setiausaha KPLB, Dato’ Ramlan Harun.

Mahdzir juga berkata, di peringkat KPLB akan diketuai Ketua Setiausaha, manakala di peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memudahkan urusan rundingan.

“Kami juga berbincang untuk menyelesaikan perkara berbangkit lama di kawasan KESEDAR. Agensi itu ada tanah yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

“Kita sedang usahakan untuk buat ukuran tanah untuk membolehkan diserahkan kepada peserta dalam masa jangka panjang,” katanya.

Menurutnya juga di peringkat KPLB ada pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan hasil persetujuan yang dicapai hari ini. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -