PAS Nibong Tebal bantu mangsa terjejas kebakaran

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

NIBONG TEBAL:
PAS Kawasan Nibong Tebal menghantar bantuan makanan kepada mangsa terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah.

Menurut Ketua Penerangan PAS kawasan, Mazli Salleh, bantuan yang disampaikan berupa makanan kering untuk 54 mangsa daripada 12 keluarga yang masih ditempatkan di PPS.

- Advertisement -

“Kami dimaklumkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya 12 keluarga sahaja yang masih ditempatkan di sini.

“Mereka ditempatkan di sini sejak 16 Januari, iaitu sudah lapan hari,” ujarnya yang ditemui Harakahdaily selepas mengagihkan barangan bantuan, semalam.

Kehadiran beliau yang ditemani Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Zul Azhar Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS kawasan disambut baik oleh pegawai JKM yang bertugas.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Amal Malaysia Negeri Pulau Pinang ada menyatakan hasrat untuk membantu anggota bomba dan penyelamat bagi memadam api kebakaran di tapak pelupusan berkenaan namun mereka dinasihati supaya tidak terlibat atas faktor keselamatan disebabkan asap beracun yang terhasil daripada longgokan sampah yang terbakar.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Sabtu mengumumkan bantuan bencana sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, dekat sini.

Kira-kira 400 penduduk daripada 90 buah keluarga yang tinggal berhampiran lokasi kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan diarahkan berpindah sejak 16 Januari lalu akibat pencemaran udara berbahaya di kediaman mereka.

12 buah keluarga ditempatkan di SMK Saujana Indah manakala selebihnya tinggal menumpang di rumah sanak saudara masing-masing.

Sementara itu, kerja-kerja pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung oleh anggota bomba dan penyelamat masih diteruskan hingga ke hari ini sejak kebakaran berlaku pada 12 Januari lalu.

Laluan ke tapak berkenaan turut ditutup kepada orang awam atas faktor keselamatan disebabkan udara bahaya yang meliputi beberapa kilomater radius daripada lokasi kebakaran itu. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -