Kenderaan klasik tarik perhatian pengunjung

Mohd Nurkhuzaini bersama sebuah motosikal klasik. (Foto-foto daripada Facebook YB Hj. Khuz.)
- Advertisement -

BESUT: Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbongan, di sini Jumaat dan Sabtu lalu.

- Advertisement -

Kenderaan tersebut dihimpunkan sempena Karnival Permotoran Pantai Timur anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan Kelab Otai Mercedes Benz Besut dibantu Majlis Daerah Besut dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program yang julung kali diadakan itu mempersembahkan keunikan tersendiri dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kita merancang karnival ini dalam tempoh kurang sebulan untuk adakan tetapi, dengan dukungan semua pihak, kita terima sambutan begini baik daripada peserta sehingga urus setia terpaksa mengubah target kehadiran mereka beberapa kali.

“Daripada kurang 200 peserta yang dijangkakan semalam, hari ini kita dapati melebihi 300 kenderaan hadir mewakili kelab-kelab Mercedes Benz dari enam buah negeri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Jelasnya, program berlangsung diwarnai dengan siri konvoi kenderaan klasik ke kawasan-kawasan menarik di sekitar Kota Putera.

Kemuncak perasmian adalah persembahan bunga api diiringi gesekan biola, diikuti dengan persembahan dikir barat daripada Kumpulan Dikir Barat Otai Mercedes Benz Besut.

Penduduk Kota Putera pastinya teruja dengan kehadiran kenderaan klasik itu terutama dalam konvoi Jelajah Perlancongan ke Pantai Benting Lintang dan Pantai Air Tawar.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Adun Kota Putera mengucapkan jutaan terima kasih kepada kelab-kelab yang memberi sokongan dengan penyertaan dan kehadiran dalam karnival itu.

Malah beliau juga berpeluang untuk merasai pengalaman menaiki kereta klasik Mercedes 300D tahun 1960-an dalam siri Jelajah Perlancongan ke Benting Lintang.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada urusetia karnival iaitu kerjasama antara Kelab Otai Mercedes Benz Besut, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Majlis Daerah Besut (MDB), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Pemuda, Ameerah, Muslimat, JPKK Kota Putera, Majlis Daerah Besut (MDB) serta lain-lain yang menjayakannya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -