Kerajaan pantau keselamatan Orang Asli di pedalaman

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

GUA MUSANG:
Kerajaan mengambil tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terjaga ekoran ancaman harimau yang memasuki penempatan mereka Desember lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan mengambil langkah memantau dengan kerjasama polis, Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pemimpin tempatan.

- Advertisement -

Katanya, setakat ini Perhilitan memasang perangkap harimau di kawasan terlibat sebagai inisiatif untuk menjaga keselamatan penduduk di penempatan Orang Asli.

“Dari segi keperluan memindahkan penduduk itu ia bergantung kepada Perhilitan sama ada memohon kepada MKN untuk sebarang tindakan lanjut termasuk memindahkan penduduk.

“Terdapat Seramai 305 ketua isi rumah (KIR) di Pos Bihai, dan kawasan itu merupakan kawasan yang didapati populasi harimau paling banyak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II Dato’ Hasbi Habibollah; Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Pengurus Besar KESEDAR Dr Shahrir Mohammad Zakey.

Mahdzir juga berkata, setakat ini Perhilitan memasang sebanyak tujuh perangkap di kawasan Pos Bihai, namun belum ada sebarang tangkapan.

Baru-baru ini Perhilitan Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang membaham seorang penduduk orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -