Kantin sekolah jadi kafetaria di SK Bintong

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Transformasi kantin sekolah menjadi sebuah kafetaria di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong di sini memberi semangat kepada murid-murid untuk hadir ke sekolah.

Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man berkata, tranformasi perubahan wajah itu difahamkan yang pertama di Perlis.

- Advertisement -

Katanya mereka mendapat ilham daripada Persiaran Makanan Bintong yang berkonsep warna warni.

“Persekitaran sekitar kantin menjadi menarik dengan dinding yang dicat dengan warna-warna yang cerah.

“Peralatan kerusi, meja dan reka bentuk kantin turut ditambah baik termasuk bilik makan guru di kantin tersebut.

“Transformasi ini mempunyai kesan besar ke atas psikologi dan sikap murid-murid yang dilihat lebih bersemangat datang ke sekolah,” katanya selepas melawat kantin tersebut baru-baru ini.

Oleh itu Menteri Besar mengucap tahniah kepada pemilik Ana Bintong D’Cafe Analiza Ahmad, 43, yang mengetengahkan konsep terbabit dengan membelanja hampir RM30,000 melakukan transformasi kantin tersebut.

“Saya difahamkan beliau juga merupakan bekas murid sekolah ini dan ia satu perkara yang perlu dibanggakan,” ujarnya.

Menurutnya juga transformasi tersebut boleh dijadikan penanda aras dalam pengurusan dan pengoperasian kantin sekolah-sekolah di Perlis dan negara ini.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan Sarimah Mohd Zainul berkata, usaha yang dilakukan pengusaha kantin itu menjadi nilai tambah kepada sekolah tersebut.

“Dalam keterujaan mempunyai kantin berwajah baru, seramai 268 murid tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Mereka hanya dibenarkan membeli sarapan pagi dan ketika waktu rehat sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -