Penguatkuasaan berterusan mampu kekang jenayah dadah

- Advertisement -

TAIPING: Tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah pengambilan dadah melalui siri tangkapan ke atas pihak terlibat dapat menghilangkan rasa resah dalam kalangan masyarakat setempat.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Taiping, Amar Jamaluddin berkata, malah melalui tindakan bersepadu dilaksanakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) diharapkan dapat mengurangkan kegiatan jenayah berkaitan.

- Advertisement -

“Kempen kesedaran dan pencegahan sewajarnya diperkasa dan digerakkan semua pihak bertepatan dengan slogan dadah musuh nombor satu negara.

“Lebih-lebih lagi melibatkan anak muda seawal usia di sekolah sebagaimana peranan yang dimainkan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan), PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) dan NGO,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya bersedia menawarkan diri dalam membantu sebarang usaha ke arah membanteras dadah meliputi kempen kesedaran berterusan di sekitar kawasan Taiping serta bekerjasama dengan pihak berkaitan.

“Kami juga menyokong penuh dan menyambut baik saranan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dalam mempergiat usaha perangi dadah termasuklah memperketat penguatkuasaan melalui pelbagai agensi berautoriti.

“Kami juga merakamkan sekalung tahniah kepada pihak Balai Polis Kamunting, Taiping di atas kejayaan membuat tangkapan dadah di Jalan Kamunting – Batu Kurau baru-baru ini,” hargainya. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -