‘Keluarga Malaysia’ selari ‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

- Advertisement -

KUANTAN: Konsep ‘Keluarga Malaysia’ diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob adalah selari dengan tema dan agenda ‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’ dibawakan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Bendahari Muslimat PAS Malaysia, Dr Che Faridah Ismail berkata, dewan itu berhasrat kepada pembentukan keluarga berteraskan kefahaman Islam yang menjadi tonggak asas lahirnya kesejahteraan untuk negara.

- Advertisement -

Menurutnya, harapan itu tentulah disandarkan kepada dan demi kepentingan kaum wanita, para ibu dan isteri, serta anak-anak perempuan, termasuk juga golongan rentan yang memerlukan pembelaan.

“(Sedangkan) Kepimpinan lelaki yang pincang di peringkat rumah tangga tanpa ada ciri-ciri ‘qawwam’ sudah pastinya akan menggagalkan agenda Keluarga Malaysia dalam mencapai kesejahteraan bermula dari keluarga kecil,” ujar terhadap cabaran itu.

Kupasan itu dinyatakan beliau dalam Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia (JELAS) anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu Muslimat PAS Negeri Pahang secara dalam talian baru-baru ini.

Selari untuk mencapai dan mendukung peranan kekeluargaan itu, Dr Che Faridah memberitahu bahawa peranan tersebut turut dijayakan menerusi institut pengajian tinggi milik Muslimat PAS iaitu Universiti Saidatina Aisyah.

Universiti itu terangnya, adalah untuk melahirkan wanita berkemahiran dalam banyak perkara iaitu bukan saja memiliki ilmu, tetapi juga boleh turun ke medan menjalankan tanggungjawab daie menyeru masyarakat kepada Islam.

“Saya menyeru kepada semua muslimat atau rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan di atas pembinaan universiti ini sebagai tapak melahirkan wanita yang boleh bekerja dan memberi sumbangan kepada jemaah dan juga masyarakat,” ujarnya lagi.

Beliau menyatakan bahawa muslimat muda adalah aset sangat bernilai sebagai pelapis kepimpinan dan kelangsungan Dewan Muslimat di mana mereka perlu menempatkan diri di semua peringkat organisasi Dewan Muslimat.

“(Iaitu) dengan sepenuh hati, ikhlas dan tanpa ragu-ragu. Kita mengharapkan persiapan golongan muda juga hendaklah bersedia menggalas tugas dan tanggungjawab menyediakan diri sebagai pelapis untuk meneruskan perjuangan ini di masa hadapan.

“Dewan Muslimat sendiri mengalu-alukan penglibatan khususnya golongan muda ini untuk bersama dengan kita,” tambah beliau lagi.

Beliau juga merangsang para Muslimat untuk merangka strategi dan yakin sebahagian besar akan menyempurnakan perkara itu dalam permukiman di Kawasan masing-masing ke arah memenangkan PAS dalam PRU15 nanti.

Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Noor terdahulu dalam aluannya memaklumkan bahawa JELAS adalah untuk memastikan segala intipati ucaptama itu dapat dihayati, difahami dan diterjemahkan.

“(Iaitu) ke dalam bentuk gerak kerja di seluruh kepimpinan dan ahli Dewan Muslimat di setiap peringkat Kawasan di Negeri Pahang ini. PAS sebagai parti Gerakan Islam di Malaysia mestilah bergerak secara tersusun.

“(Juga) berstrategi dan dinamik sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri, kawasan dan cawangan bagi menghadapi PRU 15 yang akan datang,” ujarnya yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia. 

Program ini tambahnya, memberi peluang kepada pimpinan Muslimat Pahang untuk berdialog dengan pimpinan Muslimat PAS Pusat secara terus, mengenalpasti cabaran dan realiti jentera di peringkat akar umbi.

Hal tersebut terang beliau, dalam usaha melaksanakan visi, misi dan strategi di samping dapat memperkemaskan organisasi dalaman parti agar selari dengan Pelan Tindakan Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang, Yusma Yusoff, JELAS kali ini dihadiri 160 peserta daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -