PAS Kluang lawat media Bahasa Cina

- Advertisement -

KLUANG: PAS Kawasan Kluang telah mengadakan lawatan ke pejabat akhbar Bahasa Cina, Sin Chew Daily dan China Press, di sini semalam.

Lawatan ini bertujuan meluaskan keharmonian kaum selain untuk merapatkan hubungan PAS Kluang dengan masyarakat Cina khususnya pihak media.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, pihaknya sudah lama mempunyai jaringan hubungan bersama agensi dan penggerak akhbar Bahasa Cina.

“Kita dah lama ada jaringan dengan akhbar Bahasa Cina, sejak tahun 2008 lagi. Kita juga ada beberapa kali menghantar berita kepada mereka untuk diletakkan di dalam akhbar mereka.

“Kita juga pernah memanggil akhbar Cina untuk membuat liputan mengenai isu-isu kemasyarakatan di Kluang ini,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kluang, Saharuden Sukor menyatakan pihaknya bersedia untuk mengadakan kolaborasi bersama mereka.

“Kita bersedia untuk bersama mereka dalam menganjurkan aktiviti. Sebelum ini kita sudah menghubungi wakil masyarakat India untuk menganjurkan program bersama.

“Insya-Allah selepas ini kita akan cuba untuk membuat program bersama masyarakat Cina di Kluang,” ujar beliau.

PAS Kluang juga memberikan kek kepada kedua akhbar tersebut sebagai cenderahati kepada mereka yang bakal meraikan Tahun Baru Cina pada awal bulan hadapan.

Khairul Faizi turut beramah mesra bertanyakan mengenai persiapan perayaan Tahun Baru Cina mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan.

Turut hadir, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kluang, Khairul Anuar Ahmad Kamil. – HARAKAHDAILY 21/1/2022

- Advertisement -