Penghantar bermotosikal wajar carum PERKESO

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Kemalangan jalan raya yang melibatkan penghantar makanan atau barangan bermotosikal antara insiden yang kerap berlaku di sini.

Ketua Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar, Dewan Pemuda PAS Sabah Asrul Samat berkata majoriti yang bekerja dalam sektor tersebut terdiri daripada golongan muda.

- Advertisement -

Katanya, mereka wajar mengambil perlindungan dengan mencarum skim yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khususnya apabila terbabit kes-kes yang melibatkan kecemasan.

“Ia sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kos perbelanjaan sekiranya mereka terbabit dengan kemalangan.

“Sebenarnya terdapat pelbagai perkhidmatan ditawarkan PERKESO yang boleh dimanfaatkan antaranya faedah tunai kepada tanggungan, perubatan, kemudahan pemulihan, pendidikan dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim pada kenyataan menggalakkan individu yang bekerja sendiri mencarum dengan PERKESO.

Menurutnya usaha itu sangat penting supaya aspek kebajikan pencarum terjamin melalui faedah yang disediakan PERKESO.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia membuat bayaran sebanyak RM1.3 juta kepada 764 kes kemalangan yang melibatkan penghantar makanan bermotosikal di negara ini. – HARAKAHDAILY 21/1/2022