Projek ECRL dijangka capai kemajuan 37 peratus

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangkakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mencapai kemajuan sebanyak 37 peratus pada tahun 2022 melibatkan empat negeri iaitu, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Seri Darwis Abdul Razak berkata, bagi kerja-kerja infrastruktur itu melibatkan kerja-kerja tanah, jambatan dan cerucuk.

Katanya, bagi proses pengambilan tanah di Kelantan telah siap sepenuhnya manakala Terengganu dan Pahang masih dalam proses pengambilan terutama melibatkan kawasan laluan utama rail.

Advertisement

Selain itu katanya, Selangor akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan prosesnya baru sahaja diluluskan sebelum ini.

“Pihak MRL optimis projek ECRL di negeri ini yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 kilometer akan siap dibina mengikut jadual pada akhir tahun 2026,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program ‘Mesra ECRL’ di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja pembinaan projek ECRL beliau berkata, Kelantan telah mencatat kemajuan sebanyak 16.35 peratus melibatkan 18 lokasi bagi kerja-kerja infrastruktur setakat Disember tahun lalu.

“Jumlah tenaga kerja bagi projek ECRL di Kelantan setakat ini seramai 672 pekerja yang mana 73 peratus terdiri daripada warga tempatan dan Kelantan akan dibina dua buah stesen iaitu stesen penumpang di Kota Bharu manakala stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh,” katanya.

Beliau berkata, program ‘Mesra ECRL’ yang diadakan di Kelantan adalah bertujuan mendekati komuniti setempat serta meningkatkan kesediaan penduduk yang bakal menikmati limpahan manfaat daripada pembangunan infrastruktur nasional.

Malah, sepanjang program yang berlangsung selama dua hari ini pihak ECRL turut mengambil peluang mengadakan sesi temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL untuk sesu pengambilan Mac 2022 di lokasi yang sama.

“Pengambilan program ini juga menawarkan latihan dan jawatan bagi mereka yang berminat untuk bekerja antaranya sebagai juruteknik tapak binaan, juruelektrik, juru ukur tanah, pembantu makmal ujikaji bahan pembinaan, makanik mesin jentera berat dan pekerja am untuk program ECRL.

“Pelatih-pelatih terlibat yang berjaya menamatkan latihan program kelak akan dijamin penempatan sebagai sebahagian daripada tenanga kerja pembinaan infrastruktur mega ini,“ katanya.

Terdahulu media melaporkan, projek ECRL dijangka siap mengikut jadual pada hujung tahun 2026.

Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat secepat mungkin. – HARAKAHDAILY 20/1/2022