Kelantan teliti cadangan tingkat pengeluaran air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi meningkatkan pengeluaran air bersih 30 juta liter sehari dari Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Teluk.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kini LRA itu hanya mampu menghasilkan 10 juta liter sehari meskipun piawai ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah dipatuhi.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah AKSB untuk mengadakan perbincangan lanjut serta memutuskan tindakan dibuat oleh anak syarikat kerajaan negeri itu.

- Advertisement -

“AKSB telah menjelaskan kepada kita tadi, antara cadangan untuk melantik pihak ketiga atau apa pun, kita akan buat sesuatu keputusan nanti dalam mesyuarat lembaga dalam masa terdekat.

“Usaha ini bagi mencari satu alternatif supaya kita dapat capai pengeluaran sebenar LRA Kampung Teluk ini dalam tempoh empat bulan lagi, Insya-Allah kita akan selesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerjanya bersama ahli majlis mesyuarat Kerajaan negeri bagi mengetahui status projek pembinaan LRA Kampung Telok, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Exco Kerjaraya, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Sr Dato’ Azami Mohd Noor dan Timbalannya, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Terdahulu, rombongan kerajaan negeri menerima taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Besar AKSB, Dato’ Ir Azuhan Mohamed mengenai perkembangan LRA yang memulakan operasinya pada akhir 2021.

Ahmad berkata, kerajaan negeri terus komited serta yakin untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera bagi memastikan gangguan bekalan air tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata, jika LRA tersebut mampu beroperasi dengan kapasiti sebenar iaitu 30 juta liter sehari, masalah air kawasan sekitar termasuk Jajahan Kota Bharu Timur dan Bachok dapat diselesaikan.

“LRA Kampung Telok ini yang kita kira loji ini amat penting bagi mengagihkan bekalan air bersih kepada kawasan yang sangat penting seperti di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa dan sebagainya.

“Apa yang kita lihat hari ini ialah kita hendak tahu kenapa kita tidak boleh capai 30 juta liter sehari, yang dapat hanyalah 10 sahaja, kita mahu cari cara atasi masalah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -