Luaskan amal kebajikan, tapi jangan langgar batas akidah

- Advertisement -

AGAMA Islam mengajar umatnya supaya saling beramah mesra, bantu membantu, menjaga keharmonian dan perpaduan apabila hidup bernegara:

- Advertisement -

‎يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ …

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(al-Hujurat: 13)

Surah Al-Maidah juga menerangkan: 

‎…..ۘ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ …..  

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”

Realiti kemajmukan masyarakat juga mengajar umat Islam untuk berbuat baik termasuk kepada masyarakat bukan-Islam.

Prinsip Al-Quran menjelaskan:

‎لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ  

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.

(al-Mumtahanah: 8)

Baginda Nabi S.A.W juga diutuskan untuk membimbing manusia agar berakhlak dan bersahsiah tinggi sesama insan dan meraikan apa jua perbuatan baik yang berlaku sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa mahupun keturunan:

‎إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

(Riwayat Ahmad)

Namun, dalam perkara akidah, umat Islam mempunyai prinsip tegas dan pegangan yang utuh tanda keimanan kepada Allah S.W.T. Ini adalah perkara dasar dalam agama Islam. Akidah serta iman kepada Allah S.W.T wajib dijaga dan dipertahankan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 19:

‎إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ ..

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Kafiruun ayat ke-6:

‎لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ  

“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Saya melihat ada beberapa perkara yang berlaku dalam beberapa tempoh terdekat ini, yang memanggil saya untuk memberi respon yang melibatkan isu perbatasan pengamalan yang berkaitan dengan akidah umat Islam. Ini termasuklah dalam isu orang Islam membersihkan rumah ibadat bukan-Islam ketika tempoh banjir tempoh hari dan penglibatan umat Islam dalam beberapa ritual yang melibatkan agama lain. 

Suka saya ingin merujuk beberapa perkara yang telah dikelurkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Agama Islam telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut terhadap 2 isu ini: 

Isu Pembersihan Rumah Ibadat Agama Lain

Seorang Muslim itu tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam.

Boleh dapati penjelasan lanjut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam pautan seperti di bawah:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=463319831831966&id=100044618581014

Dan isu penglibatan di dalam pengamalan agama selain Islam oleh umat Islam:

“Kami berpandangan bahawa hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak, seperti untuk berdakwah, memenuhi jemputan berdialog antara agama dan sebagainya. Namun kehadiran sewaktu hari perayaan keagamaan mereka adalah tidak dibenarkan.”

Sila rujuk pautan ini untuk rujukan lanjut:

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2647-irsyad-

Namun, 2 perkara ini tidak sama sekali menegah kita daripada menunaikan hak kemanusiaan lain dengan membantu non-Muslim yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain. Antaranya dengan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan kepada mereka yang memerlukan. 

Para asatizah dan pendakwah tentunya berperanan besar untuk memberikan kefahaman kepada umat Islam khususnya isu-isu yang terkait dengan disiplin akidah umat Islam. Penjelasan yang disampaikan adalah berpandukan metodologi ilmu Islam. 

Sewajarnya semua pihak perlu memahami serta menghormati perkara ini memandangkan ia sebahagian dasar akidah Islam. 

Musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini menjadi titik penyatuan masyarakat serta usaha saling bantu membantu merentasi agama, bangsa dan budaya. Semuanya atas nama kasih sayang dan keinsanan. Walau bagaimanapun, dalam isu khusus melibatkan akidah umat Islam semua pihak perlu menghormati perkara tersebut.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
20 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -