Covid: Maktab Mahmud Tobiar ditutup tujuh hari

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Maktab Mahmud Tobiar, Pendang ditutup selama tujuh hari berikutan 99 pelajar yang tinggal di asrama disahkan positif Covid-19 kelmarin.

Exco Kesihatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, sungguhpun begitu, kemungkinan kes itu akan bertambah apabila keputusan ujian saringan diperolehi nanti.

- Advertisement -

Menurut beliau, dua pelajar maktab itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala 81 orang dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Covid-19, Dewan Wawasan, Jitra.

“Terdapat juga pelajar yang diarahkan kuarantin di asrama manakala pelajar lain yang negatif dibenarkan pulang ke rumah.

“Setakat ini jangkitan itu hanya melibatkan para pelajar asrama dan tidak membabitkan para guru,” jelasnya ketika ditemui media di Wisma Darul Aman, semalam.

Dalam perkembangan lain, terdapat 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani juga dilaporkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, ujar Hayati jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar di tiga sekolah berkenaan didapati masih dalam keadaan terkawal.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang medianya hari ini menyuarakan kebimbangan berkenaan hal itu di mana kesnya meningkat agak mendadak iaitu 404 kes dalam tempoh dua bulan.

Justeru itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak yang bergejala seperti batuk atau demam tidak dihantar ke sekolah untuk mengelak penularan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan terutama aktiviti kenduri. – HARAKAHDAILY 20/1/2022

- Advertisement -