Oleh AIN MANAF
TUMPAT: Sebanyak RM200,000 dana penyelidikan ditaja oleh Amerika Syarikat dalam usaha menjaga warisan seni kebudayaan rebana kercing supaya dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, dana itu diberi khusus menerusi Ambassadors Fund for Cultural Preservation (AFCP (UMK).
Menurutnya, selain bertanggungjawab melakukan penyelidikan berkaitan dokumentari, UMK bercadang untuk menjadikan kebudayaan rebana kercing sebagai kurikulum di universiti dan sekolah melibatkan warisan dan kebudayaan Rebana Kercing tahun ini.
Kata beliau, pihaknya kini masih dalam perbincangan termasuk akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menjadikan ia sebagai satu silibus yang sesuai untuk dipelajari.
“Demi memastikan seni warisan dan kebudayaan rebana kercing dapat diterus dan dikembangkan ia juga diharap dengan adanya kurikulum tersebut ia dapat menjadikan satu silibus kepada pelajar yang berminat di universiti dan sekolah sama ada menerus kelab di sekolah atau sebagainya.
“UMK dan Kedutaan Amerika Syarikat mengambil satu pendekatan sebagai inisiatif dengan menjalankan penyelidikan dan kajian di bawah dana penyelidikan US Ambassador’s Fund for Cultural Preservation (AFCP),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ambassador Fund For Cultural Preservation yang disempurnakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters di Dewan Rebana Kercing Kampung Laut, di sini hari ini.
Hadir sama Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab. Rahman.
Dalam perkembangan sama Nik Maheran berkata, setakat ini tradisi serta aktiviti rebana kercing hanya dipelopori golongan orang lama berumur 70-an dan ia perlu diperluaskan untuk generasi muda.
Kata beliau, rebana kercing wajar dikekalkan dengan menjaga warisan budaya tidak ketara melalui pendokumentasian penyelidikan yang merangkumi temu bual mendalam, kerja lapangan dan digitalisasi proses latihan tradisional dan persembahan kebudayaan dari terus pupus.
Selain itu, aktiviti tersebut juga untuk mendidik dan melatih generasi muda memperolehi kemahiran persembahan rebana kercing selain supaya ia tidak pupus.
Sementara itu, McFeeters turut menyatakan rasa bangga kerana dapat mengadakan kerjasama dengan UMK dalam usaha mengangkat dan memelihara martabat warisan itu.
“Projek ini merupakan peluang untuk kami berhubung dengan masyarakat, selain menjadi fokus utama untuk membina hubungan yang kuat antara masyarakat Malaysia dan AS,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2022