Pemuda PAS Sabah sedia bantu kekang gangsterisme pelajar

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Isu gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meruncing kini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyambut baik inisiatif yang telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam teks khutbah Jumaat lepas yang bertajuk “Atasi Gangsterisme Pelajar Melalui Program Usrah” bagi memberi kesedaran kepada masyarakat awam.

Advertisement

Ketua DPPNS, Hendri Hamsah berkata belia kini merupakan generasi yang bakal memimpin negara pada suatu masa nanti.

“Sangat rugi apabila mereka terlibat dengan gangsterisme atau sebarang aktiviti dan budaya negatif yang akhirnya menjerumuskan diri dalam masalah sosial seterusnya merosakkan masa depan mereka,” katanya ketika mengulas isu itu, semalam.

Tambah beliau, DPPNS menyokong dan mendukung penuh seruan tersebut dan bersedia menjalinkan kerjasama dalam pelaksanaan program usrah bagi membantu JHEAINS untuk mengekang aktiviti gangsterisme.

Menurutnya, DPPNS melalui Akademi Tarbiah (AKTAR) sememangnya telah menjadikan program usrah sebagai nadi dan tunjang utama pengisian kepada pemuda PAS Sabah di semua peringkat sejak sekian lama.

Malah, ujarnya naqib (ketua usrah) yang berkhidmat memberi pengisian juga turut bersedia membantu JHEAINS dalam mengatasi masalah itu.

“PAS mempunyai silibus yang berlandaskan syariat mengikut rukun usrah itu sendiri dalam membentuk jati diri Muslim yang berguna kepada masyrakat dan negara.

“Kami percaya dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan program usrah ini bukan sahaja dapat atasi isu gangsterisme, malah mampu mengatasi pelbagai masalah sosial dalam kalangan pelajar di sekolah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/1/2002