Dasar PAS tidak berubah ajak ummah bersatu

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Seruan perpaduan ummah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada manusia tidak tertakluk kepada musim atau kelompok tertentu sahaja, malah tiada noktah sehinggalah seluruh ummah bersatu di bawah naungan Islam.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin menjelaskan sehingga saat ini dasar PAS tidak berubah untuk mengajak seluruh ummah bersatu.

“Setakat sekarang dasar PAS tidak pernah berubah, kita tetap dengan dasar utama seperti yang diputuskan.

- Advertisement -

“Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih keliru berhubung dengan hubungan PAS, Umno dan Bersatu tetapi hakikat sebenarnya dasar kita tetap sama.

“Kita akan perjuangkan seruan perpaduan ini hingga ke saat terakhir,” katanya.

Menurutnya, langkah ke arah perpaduan itu diatur dengan mengadakan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan agar segala permasalahan dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita harap semua pihak bersedia untuk sentiasa berbincang, kerana tiada masalah yang tidak boleh diatasi melainkan menerusi perbincangan atau perjumapaan.

“Sifat toleransi dan saling tolak ansur perlu dikekalkan untuk menjamin perpaduan ummah yang kita sama-sama persetujui,” ujar beliau.

Jelas Tuan Guru lagi, seruan perpaduan ummah sifatnya tiada noktah sehingga tercapai matlamat untuk melihat ummah bersatu.

“Yang sebenarnya, seruan ini tiada akhir sehinggalah tercapai seperti mana yang Islam kehendaki bukan hanya untuk pilihan raya.

“JIka selepas pilihan raya pun, seruan ini akan diteruskan kerana ianya adalah perintah Allah, menyuruh kita bersatu padu. Jadi tiada alasan untuk kita berputus asa atau merasa tiada keperluan untuk berusaha ke arah itu.

“Maka jalan tersebut perlu sama-sama dicari, jika perlu sifat tolak ansur maka kita perlu bersifat demikian sehinggalah tercapainya matlamat yang dikehendaki,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -