JELAS 2021 buka tirai sesi baru DMPN9

- Advertisement -

Oleh RUSILAH MD SOM

- Advertisement -

SEREMBAN: Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan (DMPN9) membuka tirai sesi 2021-2023 dengan mengadakan siri Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (JELAS 2021) bertempat di Kompleks PAS (KOMPAS) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Menurut Pengarah Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Janira Ain Abu Bakar merangkap Pengarah Program JELAS 2021 program ini merupakan salah satu agenda tahunan dalam takwim Dewan Muslimat PAS setiap negeri.

Penganjuran JELAS 2021 oleh DMPN9 dengan pemantauan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bagi memastikan segala intipati Ucaptama Ketua Muslimat DMPM dapat dihayati, difahami dan mampu diterjemahkan ke dalam bentuk gerak kerja oleh seluruh kepimpinan dan ahli Dewan Muslimat di setiap peringkat.

Antara pimpinan yang turut hadir di dalam program JELAS ialah Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri Sembilan Hj Rafiei Mustapha, Ketua Dewan Muslimat Fazilah Abu Samah, Ketua Penerangan Khairul Yazman Yahya, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan serta Ketua-Ketua Muslimat daripada 8 kawasan di sini.

Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Noraini Hussin yang hadir sebagai pembentang munaqasyah ucaptama kali ini menekankan peranan wanita dalam Keluarga Malaysia, iaitu gagasan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ke-9, Dato Seri Ismail Sabri Yaakub.

Pelbagai perkara telah disentuh oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Muslimat DMPM dalam ucaptamanya pada 30 Oktober 2021 (bersamaan 23 Rabi’ul Awal 1443H) yang lalu.

Antaranya beliau menekankan kepentingan para wanita yang terdiri daripada kalangan ibu, isteri dan remaja diposisikan secara strategik untuk menjadi mata rantai perjuangan PAS.

Tambah beliau lagi, setiap muslimat perlu melalui proses pentarbiyahan untuk membentuk kefahaman yang berlandaskan Al Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

Noraini Husin mengulas cara bagaimana “Seruan Kesatuan Ummah” dalam Keluarga Malaysia dapat disatukan, iaitu dengan menyatukan hati-hati orang Melayu seperti saranan pimpinan PAS, “Perkukuh Muafakat Nasional, perkasakan Perikatan Nasional” dan sebarang konflik yang melanda perlu diurus dengan ilmu.

Ucaptama juga memfokuskan Agenda Keluarga Malaysis Keluarga Sejahtera, apabila DMPM meletakkan Islam sebagai tunggak asas menjayakannya dengan tumpuan diberikan kepada muslimat disaran memiliki suami yang bercirikan “Qawwam”.

Muslimat disarankan menambah ilmu. PAS menyediakan institusi ilmu di pelbagai peringkat, antaranya Akademi Pengajian Saidatina Aisyah ( APSA) dan beberapa institusi pendidikan yang lain.

Wanita turut diseru agar dapat bersaing di dalam membangunkan negara serta turut serta dalam jaringan antarabangsa, terutama tatkala PAS kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Janira Ain di dalam ucapan alu-aluannya menyebut, “Menyedari peri pentingnya kita berintima’ dengan Gerakan Islam, maka kita perlu memastikan kesatuan fikrah dan kesatuan gerak kerja dalam berjuang”. “

Manakala Fazilah Abu Samah pula menyeru seluruh ahli Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan termasuk muslimat muda untuk sama-sama menyumbang tenaga, masa, wang ringgit, idea dan kepakaran masing-masing bagi menjayakan hasrat PAS mendirikan daulah Islamiyyah suatu hari nanti. 

Sebelum menutup tirai, pengarah program mengucapkan terima kasih pada semua yang terlibat menjayakan program JELAS di samping menyatakan harapan agar muslimat sentiasa memposisikan diri, bersedia untuk memberi khidmat apabila diperlukan.

Majlis dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Rafiei Mustapha.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Rembau, Masita Mohamed Ali sempat menyampaikan sumbangan kepada Noraini Hussin yang merupakan salah seorang mangsa banjir yang berlaku pada 18 Disember yang lalu. – HARAKAHDAILY 15/1/2022

- Advertisement -