Pasca banjir: PAS Pahang syukur keprihatinan sukarelawan

Ustaz Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

Oleh AMIRA WAZNY SAHIMI | Foto NOR HAZWANI NOH

SELAYANG:
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan parti dari seluruh negara yang membantu mangsa banjir di negeri itu.

Menurutnya, banjir yang melanda negeri Pahang kali ini antara yang terbesar dalam sejarah.

Ini, ujarnya kerana cuma satu kawasan sahaja tidak dilanda banjir daripada 14 kawasan parlimen di negeri itu.

- Advertisement -

Beliau melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan para sukarelawan yang terus membantu mangsa melaksanakan kerja-kerja pasca banjir.

“Bersyukur atas keprihatinan pihak PAS negeri seluruh Malaysia dan Jabatan Amal turut turun ke Pahang.

“Bermula daripada banjir sehingga sekarang kerja pembersihan, bantuan, sumbangan yang datang daripada seluruh negara masih berterusan sehingga hari ini.

“Saya ucap terima kasih banyak-banyak, pertama sekali (kepada) MPP Pusat Jabatan Amal, Khidmat Malaysia negeri-negeri kerana menghantar sumbangan yang terlalu besar. Mungkin nilainya berjuta ringgit,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Peletakan Batu Asas Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim, Selayang Baru, di sini hari ini.

Katanya lagi, tidak cukup dengan tenaga jentara Jabatan Amal yang melebihi 3,000 orang, para sukarelawan juga membawa jentolak yang sangat membantu mangsa banjir.

“Rompin dan Pekan adalah kawasan terakhir akan surut. Yang lain dah kering. Kerja bantuan dan sumbangan bermula daripada kena banjir dalam dua, tiga minggu lepas.

“Jadi syukur pada Allah dan terima kasih pada semua yang memberi sumbangan,” katanya yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Majlis peletakan batu asas maahad tahfiz itu dilakukan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Senator Idris Ahmad. – HARAKAHDAILY 15/1/2022

- Advertisement -